Thaipusam disambut sederhana namun meriah
Bernama
Januari 17, 2014 14:01 MYT
Januari 17, 2014 14:01 MYT
Puluhan ribu penganut Hindu membanjiri kawasan Batu Caves, Gombak dekat sini Jumaat, yang menempatkan Kuil Sri Subramaniyar bagi menyatakan kesyukuran, melaksanakan nazar atau menebus dosa masing-masing sempena sambutan Thaipusam.
Sejak awal pagi, mereka memenuhi segenap ruang di Batu Caves yang memperlihat suasana sambutan yang sederhana namun meriah.
Sambutan unik yang penuh warna warni itu juga menarik ramai pelancong asing yang mahu menyaksikan ritual agama Hindu itu.
Thaipusam ialah perayaan yang disambut penganut Hindu di seluruh dunia bagi menghormati Dewa Murugan yang juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam.
Thaipusam dirayakan pada bulan 'Thai', iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil.
Ramai penganut Hindu dilihat menjunjung belanga tembikar dan aluminium mengandungi susu, yang dianggap paling suci, dengan menaiki ratusan anak tangga menuju ke kuil itu untuk melaksanakan nazar masing-masing.
Mereka juga melaksanakan nazar dengan berjalan kaki bermula dari Jalan Petaling atau Jalan Kuching sehingga ke Batu Caves sebelum membotakkan kepala dengan membawa atau menjunjung kavadi, yang dihiaskan dalam pelbagai bentuk, di atas bahu atau di atas kepala.
Thaipusam turut disenaraikan dalam kalendar pelancongan negara dan Tahun Melawat Malaysia 2014, yang membuka tirainya awal bulan ini, mampu menarik kehadiran pelancong tempatan dan asing ke lokasi perayaan ini.
Berikutan puluhan ribu orang berada di kawasan Batu Caves, sebanyak 1,000 anggota polis ditugaskan mengawal keselamatan orang ramai sejak Selasa lepas.
Pihak berkuasa turut menutup jalan dari Kuil Sri Mahamariamman di Jalan Tun H.S.Lee bagi melancarkan perarakan perarakan arca Dewa Murugan dan dua isterinya Dewi Valli serta Devi Theivanai di atas pedati perak ke Kuil Sri Subramaniyar, Batu Caves, dari 10 malam hingga 4 pagi tadi.
Beberapa perkhidmatan pengangkutan awam turut ditambah dan waktu operasinya dilanjutkan termasuk Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan RapidKL bagi memastikan pengunjung mudah ke lokasi sambutan.