Thaipusam disambut meriah, harmoni di seluruh negara

Bernama
Januari 25, 2024 15:42 MYT
KUALA LUMPUR: Perayaan Thaipusam yang diraikan penganut Hindu hari ini, disambut meriah dalam suasana harmoni di seluruh negara.
Kemeriahan sambutan perayaan itu dirasai di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves di sini, menyaksikan lautan penganut Hindu membanjiri kuil seawal 8 pagi untuk menyempurnakan nazar masing-masing dengan membawa Paal Kudam (belanga susu) dan kavadi selain memecahkan kelapa serta mencukur rambut sebagai penebus dosa.
Menteri Digital Gobind Singh Deo turut hadir di kuil itu sempena perayaan Thaipusam yang dirai pada bulan Thai iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil.
Ketika ditemui pemberita, beliau berkata difahamkan lebih dua juta pengunjung terdiri daripada rakyat Malaysia mahupun pelancong luar negara, bersama-sama memeriahkan sambutan pada hari ini.
"Selain penganut Hindu yang hadir, kita ada ramai (pengunjung) daripada masyarakat seluruh Malaysia yang datang untuk melihat perayaan Thaipusam. Ini adalah satu aspek pelancongan cukup besar dan penting untuk pihak kita," katanya.
Di PERAK, tinjauan Bernama mendapati ribuan penganut Hindu membanjiri Kuil Kallumalai Arulmigu Sri Subramaniar di Gunung Cheroh, Ipoh, sejak awal pagi, malah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran turut mengunjungi kuil itu.
Turut kelihatan beberapa reruai yang antaranya menjual makanan, minuman dan pakaian dibuka di sekitar dan dalam kawasan kuil, selain perkhidmatan Paal Kudam disediakan secara percuma dengan penganut Hindu beratur beramai-ramai untuk mendapatkannya.
Menurut Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris, dianggarkan 350,000 pengunjung termasuk penganut Hindu hadir ke kuil berkenaan sejak semalam hingga esok.
"Situasi keselamatan di Perak ketika ini untuk sambutan Thaipusam di kuil-kuil adalah dalam keadaan terkawal," katanya.
Di PULAU PINANG, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata dianggarkan 100,000 pengunjung hadir ke negeri itu bagi meraikan perayaan Thaipusam yang turut dimeriahkan dengan penganut beragama lain serta pelancong luar negara.
"Ini berdasarkan pergerakan keluar masuk dan hasil pemantauan setakat ini mendapati, keadaan masih terkawal serta sambutan juga berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini," katanya selepas mengadakan tinjauan penugasan anggota sempena Thaipusam berhampiran Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani, George Town.
Ribuan penganut Hindu di negeri itu meraikan Thaipusam sejak semalam dengan perarakan dua pedati iaitu pedati emas dan pedati perak ke Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani manakala pada hari ini, mereka membawa pelbagai jenis kavadi ke kuil itu bagi membayar nazar dan mendapat restu daripada Dewa Murugan.
Di NEGERI SEMBILAN, suasana sambutan Thaipusam di Kuil Sri Balathandayuthapani di Seremban, juga meriah dengan kehadiran hampir 6,000 penganut Hindu di kuil itu.
Presiden kuil R.Parameswaran berkata populasi penganut Hindu di negeri itu adalah 15 peratus dan menjadikan kuil induk tersebut sebagai tumpuan untuk meraikan upacara keagamaan.
"Penganut Hindu di sini tiba seawal 6.30 pagi di kuil. Mereka berarak sejauh tiga kilometer membawa Paal Kudam menuju kuil ini," katanya dan menambah perarakan mengelilingi Bandaraya Seremban juga akan diadakan pada 7 malam nanti.
Thaipusam adalah hari bagi memperingati peristiwa Dewi Parvati memberikan lembing suci kepada anak lelakinya Dewa Murugan, untuk menghapuskan kuasa jahat Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.
-- BERNAMA
#Thaipusam #Gobind Singh Deo #Batu Caves #penganut hindu
;