Thaipusam di Perlis, paal koodam dibenarkan, tetapi perarakan kavadi tidak
Umavathi Ramayah
Januari 18, 2021 15:11 MYT
Januari 18, 2021 15:11 MYT
KUALA LUMPUR : Kementerian Perpaduan Negara mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk perayaan Thaipusam yang akan disambut pada 28 Januari ini.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan tiada sebarang sambutan di seluruh Malaysia kecuali Perlis yang kini berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, SOP itu dikeluarkan selepas mengadakan perbincangan dengan ketua-ketua agama Hindu, Majis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan peningkatan bilangan kes COVID-19 di negara ini.
Beliau memberitahu, meskipun Perlis masih lagi dibenarkan untuk mengadakan majlis keramaian itu namun negeri itu terikat kepada SOP yang ketat.
Berikut adalah SOP yang digariskan:
a) Perarakan pedati perak untuk membawa Dewa Murugan adalah tidak dibenarkan.
b) Tempoh waktu sembahyang dan aktiviti keagamaan dibenarkan mulai 27 hingga 29 Januari 2021 mulai jam 5 pagi hingga 5 petang.
c) Aktiviti membawa kavadi adalah tidak dibenarkan.
d) Aktiviti membawa paal koodam (belanga berisi susu) dibenarkan dan dihadkan kepada 30 orang sahaja pada satu-satu masa untuk tempoh 30 minit dan diselangi dengan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit.
e) Pengiring / kumpulan muzik tidak dibenarkan turut serta mengiringi pembawa paal koodam.
f) Pembawa paal koodam digalakkan membuat pendaftaran dengan pihak pengurusan kuil terlebih dahulu.
g) Pihak pengurusan rumah ibadat (kuil) hendaklah menyediakan laluan khas (assigned pathway) kepada pembawa paal koodam.
h) Pembawa paal koodam segera meninggalkan Kuil sebaik sahaja selesai persembahan (offerings) dan sembahyang.
i) Aktiviti mencukur rambut dan ritual mandi di dalam kawasan Kuil adalah tidak dibenarkan.
j) Agihan makanan adalah secara berbungkus (packed food) dan tidak dibenarkan makan di dalam kawasan kuil.
k) Aktiviti jualan/perniagaan/penjajaan tanpa premis seperti food truck, penjaja beredar dan penjaja tepi jalan di dalam kawasan dan persekitaran kuil tidak dibenarkan.
#Thaipusam
#PKPP
#Tiada sambutan
#Majlis Keselamatan Negara
#kementerian perpaduan negara
#PKPB
#Pelaksanaan PKP