Thaipusam: Beberapa jalan di sekitar P.Pinang ditutup untuk perarakan pedati mulai Sabtu
Bernama
Februari 2, 2023 08:45 MYT
Februari 2, 2023 08:45 MYT
GEORGE TOWN: Beberapa jalan-jalan utama di Pulau Pinang akan ditutup bagi memberi laluan kepada perarakan pedati emas dan pedati perak sempena sambutan Thaipusam yang dijangka dihadiri oleh 1.5 juta penganut agama Hindu Ahad ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata beberapa jalan di sekitar bandar raya George Town akan ditutup mulai pukul 6.30 pagi Sabtu ini, hingga pukul 7 petang pada 6 Feb (Isnin).
"Perarakan kali ini melibatkan pedati iaitu pedati emas dan pedati perak. Pedati emas akan bergerak pada 4 Feb pukul 6.30 pagi dari Lebuh Queen ke Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam dan akan kembali ke Lebuh Queen pada 6 Feb pukul 6 petang.
"Pedati perak pula akan bergerak pada 4 Feb pukul 7.30 pagi dari Lebuh Penang ke Kuil Air Terjun dan kembali ke Lebuh Penang pada 6 Feb pukul 7 petang," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Katanya antara laluan yang akan ditutup bagi perarakan kedua-dua pedati adalah Jalan Kebun Bunga dan Jalan Gotterlib yang akan ditutup sepenuhnya, manakala bagi Jalan Utama, Jalan Burma, Jalan Macallister, Jalan Cantoment, Jalan Nunn, Jalan Brown, Jalan Scotland, Jalan Masjid Kapitan Keling, Lebuh Victoria dan beberapa jalan lagi ditutup sementara, bergantung kepada pergerakan pedati.
Mohd Shuhaily berkata bagi memastikan kelancaran dan keselamatan orang ramai, pihak kontinjen Pulau Pinang akan menggerakkan seramai 1,250 pegawai dan anggota bagi mengawal keadaan sempena sambutan Thaipusam.
Sebagai langkah menjaga keselamatan, Mohd Shuhaily menasihati orang awam supaya tidak bermain mercun, berminum minuman keras dan memakai barang kemas yang boleh menarik perhatian penjenayah.
"Tindakan penguatkuasaan akan diambil kepada mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan pihak berkuasa, "katanya.
-- BERNAMA