Thaipusam: 1,500 anggota, pegawai PDRM ditugaskan di sekitar Batu Caves

Bernama
Februari 5, 2025 22:00 MYT
Sebanyak 1,500 pegawai dan anggota polis kontinjen Selangor akan ditempatkan di sekitar Batu Caves bagi mengawal keadaan sempena sambutan Thaipusam, Selasa ini. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,500 pegawai dan anggota polis kontinjen Selangor akan ditempatkan di sekitar Batu Caves bagi mengawal keadaan sempena sambutan Thaipusam, Selasa ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata mereka terdiri daripada pegawai dan anggota pasukan am, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Pasukan Simpanan Persekutuan serta pasukan khas.
"Hal ini sudah dibincangkan di peringkat kontinjen Selangor dan memutuskan 1,500 pegawai serta anggota akan bertugas sepanjang Thaipusam berlangsung," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Kuil Batu Caves Tan Sri R. Nadarajah berkata jutaan penganut Hindu dijangka membanjiri Batu Caves, justeru pihaknya mengutamakan keselamatan mereka.
"Perarakan pedati perak akan bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun HS Lee pada 9 Feb ini dengan kawalan keselamatan daripada pihak polis," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sempena sambutan Thaipusam 2025 di Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves, hari ini.
Beliau berkata sekiranya pembawa kavadi terlibat dalam sebarang perbuatan di luar batasan keagamaan, pihak polis mungkin akan mengambil tindakan terhadap mereka.
"Pihak kuil telah mengadakan beberapa mesyuarat bersama Polis Kuala Lumpur dan Polis Selangor bagi merancang kawalan keselamatan secara terperinci. Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia dan pasukan sukarelawan kuil juga akan bertugas bagi memastikan kelancaran Thaipusam," katanya.
-- BERNAMA
#Thaipusam #anggota polis #PDRM #Batu Caves
;