Thailand Week 2024 sasar pergembangan eksport lebih RM16 juta

Astro Awani
September 29, 2024 20:05 MYT
Worawan Wanwil berkata, program itu bakal menjanjikan peluang yang signifikan untuk perniagaan Malaysia, pengimport dan pengguna bagi Malaysia dan Thailand. - Foto DITP
KUALA LUMPUR: Thailand Week 2024 yang akan berlangsung dari 16 hingga 19 Oktober depan menyasarkan pengembangan pasaran eksport melebihi USD4 juta (RM16 juta) dan mencecah USD14 juta (RM58 juta) dalam tempoh setahun.
Pengarah Jabatan Promosi Perdagangan Antarabangsa (DITP Malaysia), Worawan Wanwil berkata, program itu bakal menjanjikan peluang yang signifikan untuk perniagaan Malaysia, pengimport dan pengguna bagi kedua-dua negara.
Menurut beliau, Thailand Week 2024 akan menjadi pengubah permainan bagi perniagaan yang ingin memanfaatkan potensi besar pasaran ASEAN.
Kata Worawan, acara itu juga akan menjadi destinasi utama bagi pemimpin industri, usahawan dan inovator untuk berhubung, bekerjasama dan membina perkongsian transformasi yang akan memacu pertumbuhan ekonomi serta inovasi signifikan dengan kehadiran lebih daripada 100 jenama dinamik.
“Satu kerjasama ekonomi dan budaya yang erat antara Malaysia dan Thailand bakal menjadi tumpuan utama semasa penganjuran empat hari itu.
“Bersempena dengan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor yang kelapan pada tahun 2024, Thailand Week 2024 akan mengumpulkan pembeli, pegawai perolehan, pengeluar, pemilik perniagaan, penggubal dasar kerajaan dan banyak lagi untuk memupuk hubungan bermakna dan mengembangkan jangkauan pasaran mereka.
“Dengan tema Membuka Peluang Perdagangan, Memperkasakan Potensi Perniagaan Tema tahun ini, ia mencerminkan misi acara ini untuk memberikan perniagaan alat dan wawasan yang mereka perlukan untuk berjaya dalam pasaran global yang kompetitif hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Thailand Week 2024 dianjurkan Kedutaan Diraja Thailand di Kuala Lumpur, DITP Malaysia dan Lembaga Pelancongan Thailand itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Worawan menambah, Thailand Week 2024 akan melibatkan aktiviti pameran produk hotel, restoran dan syarikat katering (Horeca), sesi penelarasan perniagaan, persembahan budaya dan zon pengalaman yang menawarkan bengkel dan demonstrasi produk.
Kata beliau, kategori produk sasaran akan merangkumi industri utama termasuk makanan dan minuman melibatkan jenama popular seperti Taobin, Red Bull, Coco Thumb, Teh Ranong, Charoen Pokphand Foods, Pes Cili Maepranom, GreenVille, Thai Coco, Befish, Unifirm, dan BPS Candy.
"Produk industri lain adalah kesejahteraan seperti TOA, Yahn, minyak Tropicana, Serbuk Panas Ular, dan KHAOLAOR.
"Selain itu, produk inovasi menampilkan pameran daripada Agensi Inovasi Nasional, Thailand selain produk fesyen dan gaya hidup oleh HomePro, dan LECOS.
"Turut terlibat produk haiwan peliharaan seperti Perfect Companion dan Thai Awesome serta produk berkaitan kepercayaan,” katanya.
Sementara itu, Duta Thailand ke Malaysia, Lada Phumas menegaskan, selepas kejayaan Mini Thailand Week 2023 di Kota Kinabalu tahun lalu dengan 74 gerai dan 88 jenama, pihaknya yakin Thailand Week 2024 akan menarik lebih ramai pengunjung tahun ini.
Ujar beliau, acara itu dijangka dapat menyumbang lebih banyak volum perdagangan antara Thailand dan Malaysia dengan sasaran perdagangan dua hala sebanyak USD30 bilion menjelang 2027.
#KLCC #pelancongan #usahawan #Thailand Week
;