Thailand tangguh sementara program bebas kuarantin

Bernama
Disember 21, 2021 20:39 MYT
Pelawat dibenar memasuki Thailand tetapi perlu mematuhi langkah tambahan termasuk menjalani ujian RT-PCR kedua di kemudahan ditetapkan. - Gambar fail AP
BANGKOK: Thailand memutuskan untuk menangguhkan sementara program kemasukan bebas kuarantin, “Test Go” dalam usaha mengekang penularan varian Omicron.
Semua ketibaan baharu yang memohon selepas 22 Dis, perlu menjalani kuarantin wajib di hotel.
Jurucakap kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha pada Selasa mengarahkan permohonan pas untuk program “Test GO” dan “Sandbox” (kecuali Phuket Sandbox) digantung sementara bermula tengah malam tadi sehingga diberitahu kelak.
Beliau berkata langkah itu akan dikaji semula pada 4 Jan.
“Sehingga kini, terdapat kira-kira 200,000 pelawat mendaftar untuk program 'Test Go' dan 'Sandbox', termasuk 110,000 yang sudah diluluskan untuk kemasukan tanpa kuarantin manakala 90,000 lagi menunggu kelulusan.
“Mereka akan dibenarkan masuk (Thailand). Bagaimanapun, mereka perlu mematuhi langkah tambahan termasuk menjalani ujian RT-PCR kedua di kemudahan ditetapkan.
"Langkah-langkah ini adalah sementara...ini bukan untuk menyekat pelancong," katanya pada taklimat di sini pada Selasa.
Beliau menambah bahawa pihak berkuasa berkaitan akan memantau situasi COVID-19 serta perkembangan terkini varian Omicron di negara ini.
pPengumuman itu dibuat sehari selepas Thailand melaporkan kes pertama penularan tempatan varian Omicron. Setakat ini, Thailand melaporkan sekurang-kurangnya 63 kes varian Omicron yang disahkan manakala 20 lagi kes kemungkinan.
Mulai 1 Nov, Thailand telah membuka pintu kepada pengembara lengkap vaksin COVID-19 dari 63 negara dan wilayah.
Di bawah program “Test Go”, sebanyak 227 kes COVID-19 telah dikesan pada bulan ini berbanding 83 kes pada November.
Selain itu, sejumlah 27 kes Omicron dilaporkan di bawah “Test Go”, “Sandbox” (tiga) dan kuarantin alternatif (tiga).
Sepanjang 24 jam lepas, Thailand merekodkan 2,476 kes COVID-19, terendah sejak 10 Jun, dan 32 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 2,196,529 dan 21,440 korban setakat ini.
-- BERNAMA
Thailand, “Test Go”, varian Omicron, bebas kuarantin, dtangguhkan
#Thailand #Test Go #varian omicron #program kemasukan bebas kuarantin ditangguh