Thailand rancang buka semula sempadan dengan Malaysia bulan depan
Bernama
Februari 14, 2022 23:17 MYT
Februari 14, 2022 23:17 MYT
BANGKOK: Thailand merancang membuka semula sempadan Thailand-Malaysia pada Mac untuk meningkatkan ketibaan pelancong, memandangkan pelancong Malaysia adalah kumpulan terbesar yang mengunjungi negara itu sebelum pandemik Covid-19.
Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) dan Pusat Operasi Kecemasan Pelancongan (EOC) diarah menyedia dan menggariskan langkah kelonggaran pandemik bagi pembukaan semula wilayah sempadan selatan di pintu masuk Songkhla, Narathiwat, Yala dan Satun.
"Pelancong dari negara jiran Malaysia akan memasuki Thailand melalui program ‘Test & Go’ tanpa kuarantin.
"Namun, pengembara perlu melepasi dua ujian RT-PCR Covid-19 iaitu semasa hari pertama ketibaan dan pada hari kelima," kata Timbalan Jurucakap Kementerian Luar, Natanu Nopakun pada taklimat harian COVID-19 di sini pada Isnin.
Ketika ini, di bawah program 'Test & Go’, pengembara perlu memohon pas kebenaran sebelum memasuki negara itu, membeli insurans perubatan dengan perlindungan minimum AS$50,000 dan menunjukkan keputusan ujian RT-PCR Covid-19, yang dibuat dalam tempoh 72 jam sebelum perjalanan.
Selain itu, pengembara perlu membuat tempahan awal di hotel yang ditetapkan serta melakukan ujian RT-PCR Covid-19 pada hari pertama dan kelima.
Thailand membuka pintu kepada pengunjung lengkap divaksin dari 63 negara dan wilayah melalui program ‘Test & Go’ berkuat kuasa November 2021.
Bagaimanapun, program itu digantung pada akhir Disember berikutan kebimbangan terhadap penularan varian Omicron.
Program "Test & Go” disambung semula pada 1 Februari bagi memulihkan sektor pelancongannya apabila jangkitan Covid-19 dilihat semakin berkurang di negara itu.
Sehingga 13 Februari, seramai 39, 277 pelawat memasuki Thailand melalui program bebas kuarantin itu.
Sementara itu, Timbalan Jurucakap Kerajaan, Dr Ratchada Thanadirek berkata, Thailand dan Malaysia bekerjasama rapat berhubung pembukaan semula sempadan.
Pada Mac 2020, Thailand menutup sembilan pusat pemeriksaan dengan Malaysia yang dibuka untuk membendung penularan Covid-19.
Thailand terjejas teruk dengan pandemik Covid-19 dengan hanya kira-kira 200,000 ketibaan pelancong tahun lepas berbanding hampir 40 juta pengunjung pada 2019 dan 6.7 juta pada 2020.
Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand merekodkan 14,900 kes baharu Covid-19 termasuk 192 kes import dan 26 kematian, menjadikan jumlah jangkitan di negara itu kepada 2,608,227 dan 22,462 kematian.
- Bernama