TH sumbang RM1 juta bantu asnaf bermasalah pendengaran

Bernama
Februari 22, 2024 20:45 MYT
Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyumbang RM1 juta bagi Program Pusat Audiometrik Bergerak untuk membantu warga asnaf yang mempunyai masalah pendengaran. - Foto BERNAMA
KAJANG: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyumbang RM1 juta bagi Program Pusat Audiometrik Bergerak untuk membantu warga asnaf yang mempunyai masalah pendengaran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata kerjasama pertama kali diadakan bersama Yayasan Pelangi Malaysia (YAPEL) itu, meliputi tiga aspek utama iaitu penyediaan Pusat Audiometrik Bergerak, program saringan dan pemberian alat bantuan pendengaran untuk asnaf.
Menurutnya pusat itu telah memulakan siri jelajahnya bermula tahun lepas dan menyasarkan sekurang-kurangnya 500 saringan percuma sebulan atau 6,000 saringan setahun.
"Saya berharap dengan adanya Pusat Audiometrik Bergerak ini, golongan sasar akan dapat didekati dan mereka berpeluang membuat pemeriksaan secara percuma oleh pakar.
"Ia sekali gus memberi keselesaan dan membantu kehidupan mereka seterusnya, insya-Allah," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Pusat Audiometrik Bergerak di Kompleks Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP), Sungai Ramal Dalam, di sini hari ini.
Pada majlis itu, TH menyerahkan sebuah kenderaan sebagai Pusat Audiometrik Bergerak, lengkap dengan dua unit bilik kedap bunyi, peranti saringan pendengaran seperti audiometer, alat bantu pendengaran serta khidmat kaunseling untuk membantu para asnaf yang memerlukan.
Kenderaan audiometrik itu telah mula bergerak di kawasan sekitar Lembah Kelang dan Selangor serta dijangka menjelajah ke seluruh Semenanjung terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Dalam pada itu, Mohd Na'im menyeru agensi agama serta badan korporat Malaysia lain untuk turut melaksanakan inisiatif murni seperti itu dan pelbagai program kesihatan lain bagi membantu golongan yang memerlukan di seluruh negara.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman dalam kenyataan hari ini, berkata pihaknya akan meneruskan usaha seperti ini bagi membantu lebih ramai lagi golongan daif, fakir dan miskin serta yang memerlukan demi meringankan beban dan tekanan kos sara hidup.
-- BERNAMA
#Lembaga Tabung Haji #TH #Program Pusat Audiometrik Bergerak #Mohd Na'im Mokhtar
;