TH saran pendeposit hadkan jumlah pindahan harian, elak penipuan dalam talian

Bernama
Ogos 31, 2022 12:55 MYT
Para pendeposit disaran mengehadkan jumlah pindahan harian menerusi perbankan internet bank rakan strategik TH sebagai langkah keselamatan dari penipuan dalam talian. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Para pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) disaran mengehadkan jumlah pindahan harian menerusi perbankan Internet bank rakan strategik TH sebagai langkah keselamatan dari penipuan dalam talian.
TH dalam kenyataan pada Selasa berkata pendeposit juga perlu sentiasa memastikan maklumat peribadi dan akses kata laluan platform perbankan Internet tidak dikongsi dengan mana-mana pihak, selain membuat semakan penyata akaun secara berkala melalui aplikasi THiJARI.
Menurut TH, langkah keselamatan adalah penting supaya pendeposit tidak terjerat dengan perangkap pihak tidak bertanggungjawab atau 'scammer'.
TH juga sedang mengambil langkah mengurangkan had pindahan harian menerusi perbankan Internet bank-bank rakan strategik bagi mengekang penipuan dalam talian dari menimpa pendeposit.
"Platform dalam talian TH iaitu THiJARI amat selamat kerana pengeluaran atau pindahan keluar dari TH adalah tidak dibenarkan sama sekali.
"Malah, THiJARI dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri keselamatan antaranya nama pengguna, kata laluan, TAC serta gambar keselamatan untuk memastikan aplikasi tersebut disambung ke laman web rasmi THiJARI.
"Peraturan pengeluaran atau pindahan wang juga tidak boleh dilaksanakan melalui panggilan telefon, manakala arahan pindahan telegrafik di kaunter hanya boleh dibuat dari akaun TH ke akaun bank milik sendiri sahaja," menurut kenyataan itu.
TH berkata menerusi aplikasi THiJARI, satu sesi log masuk sahaja dibenarkan bagi setiap akses dan maklumat sulit akaun pendeposit juga tidak akan disimpan dalam telefon bimbit, selain sentiasa dikemas kini dan penambahbaikan kawalan keselamatan teknologi dilaksanakan secara berterusan.
Dalam pada itu, TH memandang serius penyalahgunaan media sosial dalam penyebaran berita palsu atau kandungan tidak jelas, sehingga menimbulkan suasana keresahan dan panik dalam kalangan orang ramai terhadap TH.
"TH tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan undang-undang seperti diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
"TH komited untuk terus memberi peringatan dan nasihat berkaitan perkara ini kepada para pendeposit di platform-platform komunikasi rasmi TH. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Tabung Haji #penipuan dalam talian #perbankan internet #pindahan harian
;