TH putuskan jual tanah TRX - Pengerusi TH

Irwan Muhammad Zain
Mei 9, 2015 17:08 MYT
Lembaga Tabung Haji (TH) memutuskan untuk menjual tanah seluar 1.6 ekar (0'63 hektar) di Tun Razak Exchange, kata Pengerusinya.
Lembaga Tabung Haji (TH) memutuskan untuk tidak membatalkan urus niaga pembelian tanah di projek Tun Razak Exchange milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Sebaliknya, lembaga pengarah TH sebulat suara memutuskan untuk menjual tanah seluas 1.5 ekar (0.61 hektar) itu sebagai menghormati sensitiviti dan kepercayaan pendeposit.
Abdul Azeez berkata keputusan sebulat suara itu dibuat oleh lembaga pengarah TH pagi ini selepas mendapat nasihat perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, perdana menteri menasihatkan agar tanah itu dijual supaya nama TH ‘tidak tercemar’ kerana terlibat dalam transaksi perniagaan dengan 1MDB.
"Pada awalnya kami (lembaga pengarah) sepakat tidak mahu jual tanah itu, kami mahu bangunkan tetapi pagi tadi PM call dan nasihatkan supaya jual untuk elak fitnah terhadap TH.
"Kami akan jual secepat mungkin, sudah ada tiga pihak tawarkan untuk beli tanah tersebut," katanya dalam sidang media khas hari ini.
Sidang media tersebut turut dihadiri oleh kesemua ahli lembaga pengarah dan Ketua Pegawai Esekutif (CEO) TH Tan Sri Ismee Ismail.
Abdul Azeez juga menjelaskan bahawa tiada konflik kepentingan dalam urusan pembelian tanah milik 1MDB itu kerana CEO TH tidak mengambil bahagian dalam sebarang rundingan yang berkaitan dengan pembelian tanah tersebut.
Katanya, Ismee yang juga ahli lembaga pengarah 1MDB, "berkecuali" daripada keseluruhan proses pembelian tanah di projek TRX pada harga RM188.5 juta itu.
Ahli Parlimen Baling itu menafikan TH membeli tanah tersebut sebagai usaha untuk menyelamatkan 1MDB seperti didakwa sesetengah pihak.
Abdul Azeez bagaimanapun masih mempertahankan pembelian itu, dengan berkata TH akan mendapat pulangan tahunan sebanyak 9% daripada transaksi tersebut.
"Kami akan cari tanah lain untuk dilabur. Ini membuktikan tanah ini bukan susah untuk dijual. Kami hanya pegang hak milik itu untuk sebulan dan ia masih boleh menguntungkan kami.
"Selepas sudah jual, kita akan buat sidang media.
"Saya nak bagi tahu, lepas ini jangan kata mengapa Tabung Haji jual kepada orang bukan Islam," katanya.
Semalam bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa supaya TH membatalkan urus niaga pembelian tanah tersebut serta merta.
Dr Mahathir berkata wang pencarum yang digunakan Tabung Haji dalam urus niaga tersebut bukan merupakan milik mereka.
"Wang tabung haji adalah dari pencarum dan Tabung Haji hanya diamanahkan untuk mengurus dengan baik, dengan cara yang dihalalkan oleh Islam. Wang ini bukan milik Tabung Haji.Amatlah menyedihkan apabila wang ini diguna untuk bailout (pemulihan) hutang 1MDB.
"Inikah cara Tabung Haji mengguna duit orang ramai yang diamanahkan kepadanya. Pencarum berharap duit yang disimpan dengan Tabung Haji diurus untuk kebaikan mereka tetapi wang ini diguna untuk menyelamatkan 1MDB yang sudah hilangkan berbillion Ringgit.
"Rancangan ini perlu dibatal sekarang juga," katanya.
BACA: Wang ini bukan milik Tabung Haji, kenapa guna untuk selamatkan 1MDB? - Tun M
Manakala pemuda UMNO pula menzahirkan kebimbangan berkenaan pembelian tanah itu oleh Tabung Haji daripada 1MDB.
BACA: Tabung Haji, sila beri penjelasan berhubung jual beli tanah TRX - Pemuda UMNO
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong kenyataan Pemuda UMNO yang mahukan Kementerian Kewangan dan TH memberi penjelasan berhubung pembelian tanah tersebut.
BACA: Tabung Haji: Muhyiddin sokong kenyataan Pemuda UMNO
Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir pula mempertikaikan tindakan TH yang membeli hartanah milik 1MDB dengan nilai yang tinggi.
BACA: 'Kenapa TH sanggup bayar harga begitu tinggi untuk tanah 1MDB?' - Mukhriz
Sertai undian online kami.
#1MDB #Abdul Azeez Abdul Rahim #Tabung Haji #TRX
;