TH Johor gerakkan pasukan cari baki 20 peratus penerima tawaran panggilan haji
Astro Awani
Mei 8, 2022 13:11 MYT
Mei 8, 2022 13:11 MYT
JOHOR BAHRU: Tabung Haji (TH) Johor akan menggerakkan dua pasukan bagi mencari baki 20 peratus penerima terpilih tawaran panggilan haji tahun ini yang masih belum menjawab surat tawaran.
Pengarah TH Johor, Abu Shukor Jangga berkata ia membabitkan 241 bakal jemaah haji seluruh negeri itu.
Katanya pasukan pencarian bakal jemaah itu akan digerakkan bermula esok.
Seramai 1,246 bakal jemaah haji terpilih dari Johor menerima surat tawaran.
Daripada jumlah itu, lebih 700 bakal jemaah haji telah memberikan jawapan menerusi kaedah hadir ke cawangan TH dan secara atas talian menerusi aplikasi T-HiJARI.
“Kita akan cari sampai dapat, itu ikhtiar kita yang terakhir pastikan mereka terima (tawaran). Sebab mereka mungkin tak tahu, sebab tiada telefon bimbit, tiada televisyen, tak tengok TV, tak baca akhbar maka dia pun tidak tahu terima tawaran.
"Kita akan pastikan usaha ini dilaksanakan, esok kita akan usahakan. Kita anggap jemaah haji ini macam mak ayah kita. Bayangkan mak ayah kita terpilih tetapi tidak tahu, memang sangat sedih. Kita akan usahakan yang terbaik InsyaAllah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penjawat awam, Mohd Azhar Nasaruddin berkata dia diminta merayu sebagai peneman mahram isterinya, Siti Wahidah Maulad Bahari yang terpilih dalam tawaran haji tahun ini.
Katanya sepatutnya mereka berdua pergi menunaikan haji pada penghujung 2019, namun terpaksa ditangguhkan akibat pendemik yang baru menular ketika itu.
“Saya diminta merayu untuk mahram wanita bawah usia 45 tahun, syarat dikenakan Arab Saudi. Tempoh singkat ini agak struggle tetapi kami fikir hikmah. Kami usaha terbaik dan mampu kalau rezeki kami dapat pergi, Alhamdulillah,” katanya.
Perasaan gembira turut dikongsi pensyarah Mohamad Muhyiddin Khalid dan berharap rayuan isterinya, Nursyahida Abdul Rashid diterima.
“Banyak syarat yang ditetapkan. Saya mengharapkan dapat terima rayuan ini di sebalik syarat ditetapkan,” katanya.
Untuk rekod, pada hari ini semua 123 cawangan Lembaga Tabung Haji (TH) di seluruh negara dibuka bagi membolehkan bakal haji yang terpilih pada musim haji 1443/2022m untuk menghantar surat terima tawaran haji, buku rekod rawatan setelah pemeriksaan kesihatan dibuat dan pasport.