TGV Cinemas sedia mainkan lagu Negaraku di pawagamnya

Bernama
Ogos 17, 2013 07:45 MYT
Pengendali rangkaian panggung wayang TGV Cinemas Sdn Bhd (TGV) bersedia untuk memainkan lagu Negaraku sebelum tayangan filem di panggung miliknya sekiranya cadangan itu dikuatkuasakan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Gerald V. Dibbayawan berkata pihaknya akan memberi kerjasama penuh bagi merealisasikan hasrat tersebut di semua rangkaian pawangamnya seluruh negara.
"Kami berbesar hati dapat bersama-sama memainkan peranan untuk membantu membina semangat patriotisme di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi Sabtu.
Dibbayawan berkata setakat ini, pihaknya masih menunggu panggilan daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi perbincangan lanjut berhubung cadangan itu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam mencadangkan supaya lagu Negaraku dimainkan di pawagam di seluruh negara, sama ada dua atau tiga hari sebelum dan selepas 31 Ogos atau diteruskan hingga Hari Malaysia pada 16 Sept.
Presiden Eksekutif KRU Studios Norman Abdul Halim pula berkata amalan itu dapat menyemarakkan lagi semangat cintakan negara di kalangan masyarakat berbilang kaum, terutamanya golongan muda.
Beliau berkata pengendali pawangan juga wajar menyiarkan imej atau tayangan Jalur Gemilang sebagai latar belakang layar atau menyiarkan video patriotik semasa lagu Negaraku diputarkan.
Beliau bagaimanapun berharap masyarakat berbilang kaum di negara ini dapat menunjukkan sikap bertanggungjawab dan menghormati lagu kebangsaan negara ketika dimainkan.
"Ketika saya di Thailand menonton wayang, mereka memutarkan lagu kebangsaan negara mereka dan saya turut berdiri menghormatinya...jadi kita (rakyat Malaysia) perlu bangga untuk buat perkara yang sama," katanya.
Sementara itu, peminat wayang gambar Najmuddin Ikhsan Mohd Sani, 27, berkata cadangan itu sangat bernas kerana panggung wayang adalah satu daripada tempat berkumpul untuk aktiviti sosial, yang diminati semua kaum dan golongan muda.
Katanya ia juga diadakan tepat pada masanya iaitu pada bulan sambutan kemerdekaan, dan berharap amalan itu akan diteruskan pada masa akan datang.
"Saya tidak sabar untuk melihat semangat patriotik di dalam pawagam bersama kaum lain ketika menyanyikan lagu Negaraku," katanya, dan menambah suasana itu juga dapat mengeratkan perpaduan masyarakat di negara ini.
#Negaraku #tgv #TGV Cinemas Sdn Bhd
;