Tetak suami dengan pisau pemotong daging, wanita direman
Muhafandi Muhamad
Mei 30, 2023 19:00 MYT
Mei 30, 2023 19:00 MYT
KOTA BHARU: Seorang wanita ditahan selepas dipercayai menetak suaminya, menggunakan pisau pemotong daging di rumah mereka di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, petang Ahad lalu.
Suspek yang berusia 30 tahun itu ditahan di rumahnya sekitar jam 3 petang semalam susulan laporan dibuat oleh bapa mangsa tengah malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, dalam kenyataannya hari ini berkata polis menerima laporan berkaitan mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata tajam pada 12 tengah malam Isnin.
Berdasarkan keterangan bapa mangsa, dia dimaklumkan oleh anaknya yang lain, bahawa mangsa, 31, ditetak oleh isterinya menggunakan pisau pemotong daging.
Bertindak atas laporan yang diterima, suspek ditangkap di rumahnya di Pengkalan Chepa semalam.
Hasil ujian saringan awal terhadap suspek didapati negatif dadah dan suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.