Tetak kaki warga emas hingga putus, pemuda direman tujuh hari
Astro Awani
Jun 20, 2016 11:55 MYT
Jun 20, 2016 11:55 MYT
Mahkamah Majistret Pasir Mas, hari ini mengeluarkan perintah reman tujuh hari ke atas seorang remaja lelaki 19 tahun bagi membantu siasatan cubaan membunuh seorang warga emas dengan menetak kakinya sehingga putus.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri bermula hari ini sehingga Ahad depan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian jam 6 petang semalam, seorang warga emas putus pergelangan kaki kiri selepas ditetak pemuda yang cuba menyamunnya di rumahnya di Kampung Tanjung Rendang, Lemal.
Ketika kejadian, mangsa, Mek Som Mat Dah, 89, sedang berehat di ruang tamu rumahnya bersama seorang anak perempuannya yang berusia 50-an, sebelum pemuda yang juga jirannya menceroboh rumahnya.
Suspek mula bertindak agresif dipercayai apabila mangsa dan anaknya enggan memberikan wang diminta.
Anak perempuan Mek Som berjaya melarikan diri ketika kejadian, namun Mek Som ditumbuk di muka dan kakinya ditetak dengan senjata dipercayai pisau.