Tetak ibu tiri: 'Dia selalu minta wang dipercayai untuk beli pil kuda' - Bapa suspek

Muhafandi Muhamad
Februari 17, 2022 18:05 MYT
Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. - Foto Astro AWANI
GUA MUSANG: Kebimbangan seorang warga emas seakan menjadi petanda akan ada perkara buruk yang akan berlaku.
Ia selepas isterinya maut ditetak dengan parang oleh anak lelakinya sendiri di Kampung Batu Machang, Jerek, di sini petang semalam.
Mengimbas kembali kebimbangannya lelaki berusia 73 tahun itu berkata, suspek yang berusia 39 tahun itu sering meminta wang daripadanya dipercayai untuk membeli dadah jenis pil kuda.
Katanya lagi, arwah isterinya juga sering menasihatinya supaya tidak memberi wang kepada suspek.
Dia berkata, dia tinggal bersama isteri, suspek dan dua lagi anak lelakinya di rumah itu.
“Dia (suspek) ambil parang itu ketika isteri saya sedang mengemas pinggan. Selepas itu suspek keluarkan parang lalu memotong kain langsir.
“Selepas habis potong kain langsir, dia tikam arwah sampai ke tangan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini hari ini.
Sementara itu, bagi penduduk Kampung Batu Machang, Nor Azira Mohamad, dia melahirkan rasa terkejut dengan peristiwa menyayat hati yang berlaku di kampungnya.
Katanya, mangsa yang berusia 54 tahun disenangi penduduk kampung dan rajin bekerja mencari rezeki dengan menoreh getah.
“Kami kenal suspek, selalu berjalan dan bergurau. Tak sangka dia melakukan sedemikian kepada ibunya.
“Kenapa dia boleh bertindak begitu, tak tahu apa yang ‘merasuknya’. Dia juga tak sihat, tetapi terkejut juga (dengan insiden tersebut),” ujarnya.
Sementara seorang jiran Che Mohamad Konok pula berkata dia tidak menyangka suspek sanggup melakukan perbuatan itu.
“Dengar (insiden) itu berlaku dalam pukul 4.30 petang. Saya pun tak boleh tengok sebab polis ada.
“Suspek selalu pergi masjid, dan tak sangka boleh berlaku begitu.
Putus Leher | Wanita maut ditetak anak tiri
Astro AWANI sebelum ini melaporkan, seorang wanita berusia 54 tahun meninggal dunia selepas lehernya putus ditetak anak lelaki tirinya di rumah mereka di Kampung Batu Machang, Jerek.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang semalam itu, suspek telah hadir dan menyerah diri di Balai Polis Bertam di sini sebelum mengaku telah membunuh ibu tirinya dengan parang.
Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Tetak Ibu | Suspek direman tujuh hari bantu siasatan
#Gua Musang #tetak ibu tiri #putus leher #bunuh ibu
;