Tetak ibu saudara: Operator kilang didakwa di Hospital Pulau Pinang

Dewi Nur Harasha Alias
Disember 22, 2023 14:28 MYT
Majistret, Timbalan Pendakwa Raya dan jurubahasa Mahkamah Majistret Butterworth tiba di HPP bagi prosiding pendakwaan kes seorang lelaki membunuh ibu saudaranya hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
GEORGE TOWN: Seorang operator kilang didakwa di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini, atas pertuduhan membunuh ibu saudaranya Selasa lepas.
Tertuduh, Ong Kok Bu, 29, mengangguk faham semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani di wad HPP jam 12.50 tengah hari tadi.
Pertuduhan dibuat di HPP kerana tertuduh masih menerima rawatan di situ.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki tersebut didakwa membunuh Lee Yen Suan, 42, di hadapan sebuah kedai di Taman Sin Tat, Butterworth jam 10.55 pagi pada 19 Disember lepas.
Pendakwaaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan Majistret menetapkan 25 Mac depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia.
Terdahulu, Majistret bersama Timbalan Pendakwa Raya tiba di HPP jam 12.40 tengahari bagi menjalankan prosiding pendakwaan.
Pada Selasa, media melaporkan seorang lelaki dipercayai menetak seorang wanita dengan parang dan kejadian dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum ia tular di media sosial.
Kejadian dilaporkan berlaku di Jalan Raja Uda, Butterworth kira-kira jam 11.10 pagi.
Mangsa berusia 42 tahun yang cedera parah akibat tetakan pada bahagian belakang leher dan bahu kiri dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) namun disahkan meninggal dunia pada jam 11.58 pagi.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 29 tahun dipercayai terlibat dengan kejadian tersebut bertindak melarikan diri dan terjun ke laut dari Jambatan Pulau Pinang namun berjaya diselamatkan orang awam.
Siasatan polis kemudian mendapati suspek dipercayai menetak mangsa kerana marah dan dendam.
#tetak ibu saudara #pulau pinang #kes mahkamah #pendakwaan di hospital
;