Tesla lancarkan stesen 'supercharging' V4 pertama rantau Asia Tenggara di Malaysia
Amanz
Mei 3, 2024 14:00 MYT
Mei 3, 2024 14:00 MYT
TESLA hari ini mengumumkan pelancaran stesen pengecasan kereta Tesla Supercharging V4 secara rasminya di Malaysia, sekali gus menjadikan ia juga adalah pengecas Supercharging V4 pertama di rantau Asia Tenggara.
Tesla memperkenalkan ia di dua lokasi serentak hari ini, iaitu di IOI City Mall dan juga IOI Mall Puchong.
Pelancaran ini memperlihatkan sejumlah 8 pengecas Tesla Supercharging V4, selain turut dilengkapi dengan 2 Destination Chargers.
Melalui pengecas generasi baharu ini, ia menawarkan sokongan kabel yang lebih panjang, di samping kuasa pengecasan mencapai 250kW setiap kenderaan.
Mengikut kiraan kasar, Tesla mengatakan kereta Tesla Model 3 Long Range boleh dicas untuk penggunaan sehingga 282km dalam masa 15 minit.
Tesla mengenakan caj sebanyak RM1.25/kWh untuk pengecasan menggunakan Tesla Supercharger, dan setakat ini terdapat sekitar 10 stesen Supercharging, membawa kepada sejumlah 48 Supercharger di Malaysia. - Amanz