Teruslah berdoa agar negara kembali pulih daripada COVID-19 - Muhyiddin
Astro Awani
Ogos 20, 2021 16:42 MYT
Ogos 20, 2021 16:42 MYT
KUALA LUMPUR: Langkah proaktif dan bertanggungjawab secara individu perlu diambil bagi memastikan keselamatan dan kesihatan semua terpelihara apabila berada di khalayak ramai.
Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuk di masjid dan di kawasan awam lain.
"Alhamdulillah, hari ini saya dapat menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara bersama jemaah yang lain di bawah pematuhan SOP yang teratur dan ketat. Kita perlu sentiasa mengambil langkah proaktif dan bertanggungjawab secara individu untuk memastikan keselamatan dan kesihatan semua terpelihara apabila kita berada di khalayak ramai termasuk di masjid dan di kawasan awam lain.
"Berdoalah agar kita semua sentiasa dilindungi Allah SWT dari virus COVID-19 dan diberi kekuatan untuk menempuh ujian, cabaran dan rintangan daripada pandemik ini. Mudah-mudahan keadaan akan beransur pulih dan negara Malaysia yang kita cintai ini akan sentiasa aman, makmur dan bangkit menjadi lebih kuat dari sebelumnya, " katanya melalui entri terbaharu di laman sosial Facebooknya pada Jumaat.
Justeru beliau berharap rakyat tidak berhenti berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Allah kerana itulah sifat hamba-Nya yang tidak mempunyai sebarang kuasa melainkan atas kurniaan yang Maha Esa.
"Jika kita sentiasa berpandu kepada jalan Allah, Al-Quran dan Sunnah, saya yakin dan percaya hidup kita akan lebih tenang dan bermakna.
"Do not do what you feel is right. Do what Allah say is right. Do what is right. Kepada Allah jualah kita berserah," ujarnya.