Teruskan dengan norma baharu walaupun sudah terima vaksin - Anwar

Astro Awani
Februari 26, 2021 22:14 MYT
Jelas Anwar, persiapan harus dilakukan dengan sebarang kemungkinan termasuk jika berlaku penularan wabak pada masa hadapan. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia harus terus mengubah suai tata hidup, walaupun individu berkenaan sudah menerima vaksin bagi mengelak jangkitan baharu, ujar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, persiapan harus dilakukan dengan sebarang kemungkinan termasuk jika berlaku penularan wabak pada masa hadapan.
“Benar, penting bagi kita semua untuk patuh SOP terutamanya pemakaian pelitup muka, jaga jarak dan basuh tangan, ia sama penting untuk berpadu bagi mendapatkan vaksin dan membina ketahanan baharu dalam mendepani wabak ini bagi melindungi diri kita dan orang sekililing kita.
"Tetapi kita kena ingat bahawa ia bukan alasan bahawa semuanya sudah pulih dan SOP boleh diredakan,” kata Pengerusi Pakatan Harapan itu dalam ulasannya menerusi penstriman video 'Bicara Anwar Ibrahim' di laman Facebook beliau, malam ini.
Presiden PKR itu juga memberi amaran, berdasarkan kajian, jika wujud penularan wabak baharu, ia akan memberi kesan yang lebih buruk.
Oleh itu, Anwar berharap kerajaan dapat mencari titik tengah untuk mengimbangi antara data untuk kesejahteraan umum dan data yang perlu dilindungi daripada disalah guna untuk kepentingan sesetengah pihak.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan menjangkakan Malaysia mampu mencapai imuniti kelompok dalam tempoh enam hingga sembilan bulan.
BACA: Rentas sempadan boleh dipertimbang jika negara mencapai imuniti kelompok
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jika perkara itu berlaku, beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) boleh dikaji semula termasuk membenarkan rentas sempadan.
#norma baharu #vaksin #Anwar Ibrahim #Ketua Pembangkang #Ahli Parlimen Port Dickson #Bicara Anwar Ibrahim #PKR #SOP
;