Teruskan boikot organisasi, perniagaan menyokong Israel - Yayasan Al-Quds

Irfan Faruqi
November 15, 2023 22:50 MYT
Sharif berkata pihaknya menyokong dan menggalakkan boikot terhadap semua entiti yang menyokong Israel. - Foto REUTERS/Mohamed Azakir
KUALA LUMPUR : Tindakan boikot ialah pendirian moral yang boleh membantu mengurangkan dana yang disalurkan kepada rejim Israel.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr Sharif Abushammala berkata pihaknya menyokong dan menggalakkan boikot terhadap semua entiti yang menyokong Israel.
"Pertamanya, kita menghantar mesej yang jelas kepada syarikat, kerajaan dan negara (yang menyokong Israel) ini bahawa kita ada pendirian sendiri. Kita tidak boleh sokong mereka untuk membunuh saudara kita di Gaza, Palestin.
"Maka, (boikot) ini tindakan moral oleh mana-mana individu pro-Palestin. Kedua, tindakan (boikot) ini berkesan untuk menghukum dan menghentikan, kalau tidak mengurangkan, dana yang disalurkan kepada Israel," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Tambah Sharif, pihaknya memuji tindakan badan-badan bukan kerajaan (NGO), syarikat-syarikat korporat dan kerajaan yang menjayakan boikot keatas barangan dan perkhidmatan Israel.
Menurutnya, selain melemahkan sumber kewangan kepada Israel, boikot ini juga boleh memberi manfaat ekonomi kepada usahawan tempatan.
"Seperkara lagi, apabila kita sebagai individu atau NGO memboikot barangan (pro-Israel), ia memberi peluang kepada ekonomi tempatan untuk berkembang dan memperkasa sektor pengeluar tempatan tanpa terikat kepada syarikat (pro-Israel) untuk masa akan datang," katanya lagi.
#boikot #Yayasan Al-Quds Malaysia #Israel #Sharif Abushammala #Gaza #Palestin
;