Teruskan bersyukur tinggal dalam negara aman damai - Mohamad
Bernama
Jun 2, 2017 07:43 MYT
Jun 2, 2017 07:43 MYT
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan pada Jumaat menyeru segenap lapisan masyarakat di negeri ini supaya bersyukur dapat hidup dan berpuasa di bumi bertuah Malaysia yang aman damai.
Beliau berkata di negara ini, tidak seperti sesetengah negara lain, rakyat tidak perlu risau dengan soal keselamatan mereka.
"Di Malaysia kita dapat berpuasa dengan baik, anjur majlis berbuka puasa dan berpuasa dengan sanak saudara dengan rasa gembira. Kalau nak bandingkan negara lain, ada orang lain yang berpuasa bukan sahaja ketika Ramadan bahkan sepanjang tahun kerana ketidaktentuan di negara mereka.
Di Somalia misalnya, ramai yang mati kebuluran...kita hidup dalam aman damai janganlah kita lihat apa yang kita tidak ada sahaja, ramai lagi yang lebih susah daripada kita. Redalah dengan apa yang kita ada," katanya dalam ucapan pada majlis berbuka puasa dan pelancaran Projek Lampu Jalan Kampung Fasa Lapan (LJK8) di Masjid Paroi Jaya, di sini.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Duta Besar Malaysia ke Kemboja Datuk Seri Hasan Malek dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Seri Azman Mohd.
-- BERNAMA
#keselamatan
#Malaysia
#Menteri Besar
#Mohamad Hasan
#Negeri Sembilan
#rakyat
#rakyat Malaysia
#Ramadan