'Terus salur insentif pertanian kepada orang muda sehingga berjaya'
Irfan Faruqi
Mac 4, 2023 04:40 MYT
Mac 4, 2023 04:40 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu lahirkan generasi usahawan tani untuk sepuluh tahun akan datang. Bakat muda ini perlu diasah dan dibantu secara berterusan sebagai sebahagian strategi keselamatan makanan negara.
Pengasas Grasicili, Munir Ashim Abdullah, berpandangan kaedah untuk menjamin sekuriti makanan negara adalah dengan mengadaptasi pertanian skala besar yang memberi bantuan berterusan kepada bakat muda.
"Ini pelapis yang saya mahu nampak sepuluh tahun nanti menjuarai apa yang kita cerita hari ini. Mereka akan menggalas misi ini dengan adaptasi teknologi berskala besar dan mereka tidak import lagi." katanya dalam program Dialog Poket Rakyat terbitan Astro AWANI.
Tambahnya, bakat muda perlu diberi keutamaan kerana petani-petani dari generasi sebelumnya tidak lagi mampu berubah secara cepat seiring perkembangan teknologi. Pertanian konvensional perlu di transformasikan dengan pendekatan mekanisasi dan digitalisasi.
"Ini digalas oleh anak muda yang ada pengetahun dari segi gajet, teknologi dan sebagainya. Kita memerlukan dana yang besar. Bagi saya walaupun kita laburkan beberapa bilion ringgit dengan teknologi ini, kalau gagal mendapat hasil jangan berhenti, buat lagi.
"Kalau kesilapan dibuat anak muda, contohnya apabila diusahakan fertigasi, dia silap dan gagal. Bagi (bantuan) lagi sampai tiga dan empat kali, bagi. Apabila anak muda gagal jangan tinggalkan dia. Tidak ramai yang mahu ceburi pertanian ini, kalau mereka berminat, bantu mereka sampai berjaya." jelasnya.
Strategi pertanian juga hendaklah berskala besar. Yang demikian, Munir menghargai usaha kerajaan memperkenalkan program dan dana bagi tujuan tersebut.
Dalam masa yang sama beliau tegaskan Malaysia Malaysia tidak boleh tersilap langkah dalam strategi pertanian untuk tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.
Ini kerana, katanya, implikasi kegagalan memantapkan tindakan sekuriti makanan negara akan menyebabkan malaysia terpaksa terus mengimport makanan dari negara asing.