Terus kekalkan keamanan pada hari mengundi
Sahlizah Mohamed
April 13, 2019 09:45 MYT
April 13, 2019 09:45 MYT
Polis Negeri Sembilan berharap momentum sepanjang tempoh berkempen dalam keadaan aman selama 14 hari dapat diteruskan sehingga tamat proses membuang undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak berkata, parti-parti yang bertanding serta penyokong yang hadir perlu elakkan daripada melakukan provokasi terutama kepada pengundi.
“Saya menyeru kepada parti-parti yang bertanding dan penyokong kerana kita telah merayakan 14 hari berkempen dengan aman.
“Saya harap momentum ini dapat dikekalkan dan jangan timbulkan provokasi semasa pengundi hadir ke pusat pembuangan undi,” katanya pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media semasa melakukan pemantauan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Rantau.
Tambahnya, proses membuang undi berjalan lancar dengan kekuatan dan atur gerak yang dirancang secukupnya.
“Kekuatan dan atur gerak telah dilakukan dengan secukupnya. Keselamatan para pengundi pada hari ini akan terjamin dan kita minta semua pengundi keluar awal untuk mengundi pada hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Rosli turut memaklumkan kertas undi awal telah disimpan dengan selamat tanpa sebarang permasalahan dari segi simpanan kawalan dan sebagainya.
“Kami bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk memastikan semua peti peti undi tersimpan dengan selamat,” katanya.