Teruja dengan Drawbridge, aliran trafik diramal meningkat

Sharom Abu Bakar
Jun 3, 2019 06:59 MYT
Anggota yang ditempatkan di jambatan ikonik itu akan bertugas secara giliran selama 24 jam sehingga 17 Jun ini.
Aliran trafik di sepanjang Jambatan Angkat atau ‘Drawbridge’ dijangka melonjak di kedua-dua arah pada Hari Raya pertama dan kedua.
Perkara itu dinyatakan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Abdul Rahim Md Din.
Kata beliau, keadaan itu disumbang pertambahan aliran masuk pengguna termasuk perantau yang pulang ke kampung dan teruja untuk melihat jambatan yang menjadi mercu tanda baharu Terengganu itu.
Bagaimanapun, kata Abdul Rahim, pihaknya ada strategi memastikan aliran trafik itu berjalan lancar.
Antaranya, menempatkan anggota termasuk Balai Bergerak bagi melakukan pemantauan.
“Kita juga akan gerakkan anggota trafik dan untuk Unit Rondaan Bermotosikal untuk membuat rondaan secara berkala dan juga sekiranya berlaku kesesakan di atas jambatan ini, mereka akan mengambil tindakan melancarkan lalu lintas,” jelas beliau.
Anggota yang ditempatkan di jambatan ikonik itu akan bertugas secara giliran selama 24 jam sehingga 17 Jun ini.
Jambatan ikonik Terengganu itu dibuka kepada orang awam bermula jam 7 pagi dari 2 hingga 17 Jun ini bagi tempoh percubaan.
Jambatan angkat bernilai RM248 juta ini menghubungkan muara selatan di pusat bandar raya Kuala Terengganu dan muara utara di Seberang Takir.
Selain itu jambatan itu juga merupakan komponen Kuala Terenggani City Centre (KTCC) yang bakal menjadi salah satu mercu tanda Terengganu dan produk pelancongan terbaru negeri itu.
#Abdul Rahim Md Din #aliran trafik #drawbridge #jambatan angkat #polis
;