Teruja buat #10yearschallenge? Hati-hati kerana...
Afiq Ariffin
Januari 16, 2019 15:45 MYT
Januari 16, 2019 15:45 MYT
JIKA anda melayari laman sosial pada ketika ini, anda pasti menyedari akan cabaran #10yearschallenge yang menjadi trending di laman Instagram, Twitter dan Facebook.
Apa itu #10yearschallenge?
Ia adalah cabaran yang dilakukan oleh pengguna laman sosial untuk memuat naik gambar perubahan mereka pada ketika ini dan 10 tahun yang lalu.
Cabaran ini menjadi tular apabila ramai selebriti dan individu berpengaruh mengikuti cabaran tersebut dengan memuat naik gambar mereka sehinggakan cabaran tersebut menjadi fenomena dunia.
Mungkin sesetengah daripada anda beranggapan bahawa cabaran ini hanyalah perkara biasa yang berlaku di media sosial dan tidak mendatangkan bahaya kepada diri anda.
Tetapi pernahkah anda terfikir bahawa cabaran ini merupakan satu agenda yang mungkin akan mengundang perkara yang berbahaya di masa hadapan?
Pengasas laman web teknologi KO Insight, Kate O'Neil mengeluarkan kenyataan menerusi laman Twitter peribadinya bahawa cabaran tersebut mungkin merupakan salah satu daripada taktik syarikat-syarikat tertentu untuk mengumpul data peribadi pengguna tanpa mereka sedari.
Menurut beliau, cabaran tersebut mungkin membolehkan pihak tertentu untuk melatih A.I (Kecerdasan Buatan) dan mengumpul data pengiraan pengecaman wajah (“facial recognition algorithm”) atau secara mudahnya untuk mengesan perubahan seseorang individu daripada segi perkembangan usia.
Tanpa kita sedari cabaran tersebut telah memudahkan pihak tertentu untuk mengumpul set data tersebut secara tepat kerana pengguna laman sosial telah memuat naik gambar terkini mereka dan 10 tahun yang lalu.
Hal ini mungkin berbahaya kepada pengguna laman sosial kerana mereka terdedah kepada ancaman pencerobohan data peribadi mereka.
Anda mungkin tidak mengetahui sejauh mana keupayaan teknologi pengecaman wajah ini berfungsi, tetapi teknologi ini telah membantu banyak kes di New Delhi, India di mana teknologi ini membantu dalam mencari kanak-kanak hilang.
Hampir 3,000 anak-anak yang hilang berjaya dikesan di negara tersebut pada tahun lepas kerana penggunaan teknologi berkenaan.
Sekiranya teknologi ini disalah guna, ia boleh membantu pihak tertentu untuk mengesan seseorang dengan pantas dengan hanya bermodalkan gambar mereka.
Berikutan kebimbangan orang ramai mengenai isu ini, Facebook di Twitter mengeluarkan kenyataan balas kepada editor laman Wired, Nicholas Thompson bahawa #10YearChallenge adalah meme yang dimulakan oleh pengguna laman sosial sendiri dan ia tidak melibatkan pihak Facebook sama sekali.
Kenyataan balas tersebut masih membimbangkan kerana sebelum ini Facebook pernah terlibat dengan skandal penjualan maklumat pengguna kepada syarikat lain.
Walaupun belum pasti akan kesahihannya, pengguna laman sosial perlu berhati-hati dalam berkongsi sebarang maklumat di laman sosial kerana anda mungkin boleh terdedah dengan ancaman siber.
#10yearschallenge
#data
#Facebook
#Gambar
#hilang
#Instagram
#Kanak-kanak
#laman sosial
#New Delhi
#pencerobohan data
#pengecaman wajah
#Tular
#Twitter