Tertuduh kes rogol penjawat awam, didakwa kes amang seksual pula
Abd Razak Mohd Ali
Julai 20, 2023 12:15 MYT
Julai 20, 2023 12:15 MYT
IPOH: Seorang buruh binaan yang menghadapi dua tuduhan merogol penjawat awam April lalu, dikenakan satu lagi tuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Mahkamah Majistret di sini hari ini,
Tertuduh, Hassan Ahmad, 43 mengaku bersalah selepas pertuduhan baharu itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak berkenaan dengan cara memegang tangannya bagi maksud seksual.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan berdekatan dewan Rumah Pangsa Ashby Road, Ipoh kira-kira 1.30 petang, 13 April lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 16 Ogos depan untuk serahan fakta kes dan keputusan.
Pada 28 April lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Seksyen di sini atas dua pertuduhan rogol seorang penjawat awam dan menceroboh rumah mangsa di sebuah kuarters kerajaan di Fair Park.
Duda anak satu itu mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin.
Media sebelum itu melaporkan, seorang wanita tempatan berusia 38 tahun ditemukan orang awam dalam keadaan trauma dan menangis di tepi Jalan Kamaruddin Isa, Fair Park pada pukul 9.15 pagi, 18 April lalu.
Wanita yang disyaki mangsa rogol itu juga mengalami luka di kaki dipercayai akibat terjun dari tingkat dua rumahnya ketika menyelamatkan diri.
Susulan penemuan mangsa, tangkapan dilakukan ke atas suspek di rumah wanita terbabit yang membawa kepada rampasan senjata seperti gunting, pisau dan kuku kambing.