Tertuduh kes bunuh Jong-nam diminta bela diri
Wan Syamsul Amly
Ogos 16, 2018 13:21 MYT
Ogos 16, 2018 13:21 MYT
Seorang warga Indonesia, Siti Aishah dan seorang warga Vietnam, Doan Thi Huong akan dipanggil untuk membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh Kim Chol atau Kim Jong-nam pada Februari 2017.
Hakim Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Siti Aisyah, 26 tahun, dan Doan Thi Huong, 29 tahun, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45 tahun, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pada jam 9 pagi, 13 Februari 2017.
INFOGRAFIK: Siapa Kim Jong-Nam?
Azmi di dalam alasan penghakimannya selama dua jam 40 minit menjelaskan, beliau melihat kes pendakwaan dari semua sudut terutamanya sikap para saksi pendakwaan semasa perbicaraan.
Beliau turut menjelaskan telah menimbang dengan teliti hujah-hujah dan melakukan penilaian kepada keseluruhan bukti yang dibentangkan.
Dalam pada itu kedua-dua tertuduh mengangguk faham dan memilih untuk memberi keterangan bersumpah di kandang saksi.
Keputusan itu dibuat Azmi selepas mendengar dan meneliti keterangan daripada 34 saksi pendakwaan sepanjang 39 hari perbicaraan yang bermula sejak 2 Oktober tahun lalu.
Sepanjang perbicaraan, sebanyak 236 bahan bukti dikemukakan kepada mahkamah termasuk pakaian dipakai ketika hari kejadian milik kedua-dua tertuduh dan mangsa serta rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) ketika kejadian.
Kedua-dua tertuduh didakwa pertama kali pada 1 Mac 2017 di Mahkamah Majistret Sepang sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan.
Kedua-dua tertuduh dibicarakan atas tuduhan membunuh dan dakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.
Kes pembunuhan itu mendapat perhatian media antarabangsa selepas dibunuh dengan licik menggunakan agen saraf VX ketika berada di klia2 untuk penerbangan ke Macau selepas tiba di Malaysia sejak 6 Februari lalu.
Pembunuhan itu mencetuskan perbalahan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara yang menyaksikan kedua-dua negara melarang warga negara masing-masing meninggalkan Malaysia dan Korea Utara serta mengundurkan duta masing-masing.