Tertuduh geleng kepala tidak faham pertuduhan bunuh
Adie Sufian Zulkefli
Ogos 8, 2019 12:42 MYT
Ogos 8, 2019 12:42 MYT
Seorang pekerja warga Myanmar menggeleng kepalanya kerana tidak memahami pertuduhan dikenakan terhadapnya atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya di Taman Bunga Raya, Sungai Petani, minggu lalu.
Tertuduh Maung Zaw Win, 19, menggeleng kepalanya sebaik ditanya jurubahasa yang selesai membaca pertuduhan yang dikena terhadap tertuduh dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Mahkamah Sungai Petani, Arif Mohamad Shariff.
Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 4 Ogos 2019 jam lebih kurang 8.30 pagi hingga 1.30 petang di alamat bernombor 54G, Taman Bunga Raya, Sungai Petani telah membunuh.
Tertuduh dituduh menyebabkan kematian keatas Shewetheh Mane, satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati.
Majistret Arif Mohamad Shariff kemudian menetapkan 10 September depan sebagai tarikh sebut semula kes dan perlantikan jurubahasa tertuduh.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Pavitra Satha Sivam.
Dalam kejadian 4 Ogos lalu itu, polis telah menemui kesan kelar di leher mangsa dan sebilah pisau pemotong yang diguna dalam kejadian itu turut ditemui tidak jauh dari mayat mangsa.
Mangsa dan suspek dikatakan baru bekerja di premis itu sejak tiga bulan lalu.
Bagaimanapun hasil tindakan pantas sepasukan dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Muda berjaya menahan suspek di Stesen Ekspres Komplek UTC, Sungai Petani pada jam 4.10 petang hari yang sama.
Ketika ditahan suspek dipercayai mahu melarikan diri dengan menaiki bas ekspres dan hasil pemeriksaan polis menemui wang tunai RM500 dipercayai milik mangsa.