Tertarik iklan pelaburan di media sosial, lelaki rugi lebih RM100,000

Bernama
Julai 20, 2023 16:46 MYT
Mangsa yang bekerja sebagai penjaga stor sebuah syarikat itu melakukan pelaburan dalam talian dengan memuat turun aplikasi 'PSLUS' menerusi Google Play. -Gambar hiasan
KUCHING: Ekoran tertarik dengan iklan pelaburan menguntungkan di media sosial, seorang lelaki berusia 25 tahun di Sibu (kira-kira 400 kilometer dari sini) menjadi mangsa penipuan dalam talian dan mengalami kerugian berjumlah RM101,200.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata mangsa yang bekerja sebagai penjaga stor sebuah syarikat itu melakukan pelaburan dalam talian dengan memuat turun aplikasi 'PSLUS' menerusi Google Play setelah menonton iklan di Facebook pada 30 Mei lepas.
"Mangsa telah menghubungi nombor Whatsapp 621513-477+60 dan suspek telah menunjukkan bagaimana cara untuk membuat pelaburan serta mangsa diberitahu akan mendapat keuntungan yang tinggi mengikut nilai pelaburan yang dibuat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa telah melakukan 11 transaksi pemindahan wang berjumlah RM101,200 ke enam akaun bank berlainan dari pertengahan Jun hingga awal bulan ini.
Mohd Azman berkata lelaki itu hanya menyedari ditipu setelah tidak menerima hasil keuntungan pelaburan seperti yang dijanjikan suspek.
Katanya mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
#iklan pelaburan #penipuan dalam talian #penjaga stor #PSLUS
;