Tersingkap kain kapan, kandungannya betul-betul buat penduduk terkejut!

Vivi Sumanti
November 4, 2019 17:39 MYT
Difahamkan ada individu sudah mengaku bertanggungjawab atas perbuatan itu yang didakwa bertujuan untuk perubatan dan ditanam tergesa-gesa kerana cuaca hujan pada hari kubur itu dibuat.
Persoalan kubur siapakah yang ditanam sejak Khamis lalu di Tanah Perkuburan Rizab Kampung Tok Kamis, di sini terlerai apabila yang ditemui hanyalah sebatang pokok pisang yang dikerat empat.
Kubur tidak bertanda itu dipercayai ditanam pengamal perubatan untuk mengubati sihir salah seorang pesakitnya sehingga menyebabkan penduduk curiga.
Ketua Polis Pasir Puteh, Deputi Superintendan, Mohd Azmir Damiri berkata, selepas mendapat laporan, pihaknya bersama dua unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kota Bharu ke lokasi kejadian.
Katanya, selepas proses menggali selesai, didapati terdapat satu bungkusan putih seperti mayat ditanam di kedalaman 0.3 meter dan panjang 2.1 meter lengkap berkain kafan seperti jenazah.
"Apabila bungkusan dibuka, didapati terdapat sebatang pokok pisang dikerat empat bahagian dengan dibungkus sehelai karpet dan kain kapan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Penduduk kampung, Putra Radin Muhammad, 29, berkata, penduduk gempar dengan penemuan itu sejak Khamis lalu, namun hanya membuat laporan polis hari ini setelah risau ada unsur jenayah kerana tiada kematian dilaporkan di kampung itu sejak kubur baru itu wujud.
Katanya, terdahulu ibunya, Rahimah Ismail, 56, ada mengadu ternampak kelibat tiga individu sedang menanam sesuatu di tanah perkuburan itu ketika pulang dari surau berdekatan kawasan kubur.
"Mak ada mengadu pada penduduk lain, namun tidak dihiraukan sebelum kampung digemparkan dengan seorang penduduk ternampak satu kubur terkeluar kain kapan dan karpet di kubur yang baru dibuat di luar pengetahuan kami semua.
"Bila lapor polis dan polis siasat rupanya hanya pokok pisang, kami risau ingatkan ada kes buang bayi atau jenayah lain," katanya.
Setakat ini, difahamkan ada individu sudah mengaku bertanggungjawab atas perbuatan itu yang didakwa bertujuan untuk perubatan dan ditanam tergesa-gesa kerana cuaca hujan pada hari kubur itu dibuat.
#bayi #ilmu hitam #jenayah #jenazah #Kota Bharu #mayat #perubatan #polis #sihir #tanam batang pisang #tanam jenazah
;