Tersesat, kereta tersangkut dalam lumpur selepas guna aplikasi navigasi

Abd Razak Mohd Ali
Julai 11, 2021 07:57 MYT
Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian menggunakan webbing dan menarik kereta mangsa keluar dari lumpur.
PASIR SALAK: Seorang pemandu wanita bersama seorang kanak-kanak perempuan tersesat jauh ke dalam ladang kelapa sawit selepas dikatakan menggunakan aplikasi navigasi untuk ke destinasi mereka di sini, awal pagi tadi.
Kereta yang mereka naiki juga tersangkut di dalam lumpur, kira-kira tiga kilometer dari jalan besar di Jalan Kampung Gajah - Changkat Lada.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 12.20 pagi.
“Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian menggunakan ‘webbing’ dan menarik kereta mangsa keluar dari lumpur,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.
Kedua-dua mangsa terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
#sesat #navigasi #ladang sawit #lumpur #bomba
;