Tersepit mesin tebu: Erra Fazira terasa kesakitan Era Fazira

Saharudin Musthafa
Mei 28, 2019 17:31 MYT
Erra Fazira bersimpati dengan nasib yang menimpa Era Fazira di Tawau. - Astro AWANI
Insiden ngeri yang menimpa seorang wanita di Tawau, Sabah bernama Era Fazira Ramli, apabila tangannya parah tersepit mesin tebu mendapat perhatian artis popular negara, Erra Fazira Wan Chek.
Berita mengenai mangsa yang memiliki nama mirip pelakon dan penyanyi terkenal itu mula mendapat perhatian ramai sejak ia disiarkan oleh beberapa portal berita termasuk Astro AWANI.
“Allahu Akbar! Ya Allah, terkejut dengar (berita itu). Ingatkan gurauan orang, rupanya tidak. Kejadian ini benar berlaku,” ujar Erra Fazira kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Artis berusia 45 tahun itu berkata demikian sebagai mengulas kejadian tersebut yang pada awalnya mengelirukan ramai pihak, berikutan kedua-dua mereka berkongsi nama yang sama.
BACA: Tangan Era Fazira parah tersepit mesin tebu
Dalam kejadian yang berlaku di Kampung Sentosa Blok 5, Tawau pada kira-kira jam 10 pagi Selasa itu, mangsa sedang menjalankan kerja mengisar tebu.
Mangsa yang berusia 25 tahun menjerit kesakitan apabila tangannya terperosok ke dalam mesin tersebut, hinggalah pihak bomba dan penyelamat akhirnya dapat mengeluarkannya.
“Apabila membaca cerita dan melihat fotonya (Era Fazira Ramli), alahai, ini bukan main-main dan bukan gurauan.
“Sakitnya sampai Erra Fazira di Kuala Lumpur terasa. Simpati pula rasa di hati,” ujarnya.
Sehubungan itu, Erra Fazira turut memberitahu, dia akan mendoakan Era Fazira di Tawau itu segera sembuh dan semoga dia lebih berhati-hati pada masa akan datang.
#era fazira #Erra Fazira #Erra Fazira terasa kesakitan Era Fazira #mesin tebu #pelakon #penyanyi #Tawau #Tersepit mesin tebu
;