Tersenarai World University Rankings 2021, UPM tekad perhebat strategi dan perancangan

Fauzi Suhaimi
Jun 11, 2020 17:59 MYT
Aini berkata, usaha itu sebagai pemangkin kepada kejayaan untuk terus menjadikan institusi pengajian itu terbaik di peringkat dunia. - Gambar BERNAMA
Universiti Putra Malaysia (UPM) komited untuk memperhebatkan lagi strategi dan perancangan masa depan ke arah sebuah universiti terkemuka dalam dan luar negara.
Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Datin Paduka Datuk Dr. Aini Ideris berkata, usaha itu sebagai pemangkin kepada kejayaan untuk terus menjadikan institusi pengajian itu terbaik di peringkat dunia.
Katanya, kejayaan yang diperolehi UPM ketika ini perlu dimantapkan lagi demi mengekalkan kecemerlangan pada masa akan datang.
"Biarpun memperolehi kejayaan ini, tetapi kita akan terus melakukan kajian menyeluruh untuk mencari kekurangan dan kelemahan yang ada agar dapat diperbaiki ke arah yang lebih baik.
"Selain itu, kecemerlangan yang diperolehi UPM ketika ini juga akan terus dimantapkan untuk mengekalkan kejayaan selain berusaha untuk mempertingkatkan kejayaan tersebut," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Khamis.
Pada Rabu, lima universiti penyelidikan Malaysia iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tersenarai dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2021.
Dalam pada itu, Aini menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih buat semua warga UPM atas kejayaan yang dikecapi.
"Sudah tentu saya berasa bangga dengan pencapaian ini dan terima kasih diucapkan kepada semua warga UPM, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan lain-lain kementerian berkaitan yang sama-sama berusaha mencapai kejayaan ini.
"Ranking ini bukan segala-galanya untuk UPM tetapi ia penting demi masa depan negara serta institusi pengajian tinggi untuk berada sebaring dengan universiti dunia lain," ujarnya.
#Astro #Astro Awani #Dunia #Institusi Pengajian Tinggi #Malaysia #pendidikan #pengajian #penyelidikan #Sains #UM #universiti #Universiti Putra Malaysia
;