Tersalah tekan pedal, kereta dipandu warga emas luncur masuk ke dalam pasar
Astro Awani
Disember 17, 2020 19:28 MYT
Disember 17, 2020 19:28 MYT
KEMANAN: Gara-gara tersalah tekan pedal minyak, sebuah kereta Proton Perdana yang dipandu seorang warga emas meluncur masuk ke dalam pasar sebelum merempuh dua buah gerai menjual kuih.
Kejadian berlaku di Pasar Awam Binjai, Kemaman kira-kira jam 12.40 tengahari, pada Khamis.
Insiden itu menyebabkan dua buah gerai berkenaan mengalami kerosakan teruk sehingga menyebabkan peniaga mengalami kerugian.
Kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu kereta yang berusia 84 tahun itu datang ke pasar tersebut untuk membeli barangan keperluan.
Sejurus tiba di parkir, pemandu terbabit dikatakan tertekan pedal minyak kerana menyangkakan ia adalah pedal brek menyebabkan kereta tersebut meluncur masuk ke dalam pasar dan merempuh beberapa gerai.
Menurut seorang peniaga, Zaimah Mat Ali, ketika kejadian dia berada di kediamannya di Kampung Mak Chili dan hanya mengetahui kejadian tersebut setelah dihubungi oleh seorang rakannya.
Jelasnya meskipun mengalami kerugian, namun dia bersyukur kerana tiada kecederaan melibatkan peniaga di situ.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Katanya, kes akan disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.
Menurut Hanyan, pemandu terbabit yang mengalami kecederaan ringan dihantar ke klinik kesihatan terdekat untuk menerima rawatan lanjut.
#warga emas
#tersalah tekan pedal
#pedal minyak
#pedal brek
#Pasar Awam Binjai
#Zaimah Mat Ali
#Kampung Mak Chili
#Polis Daerah Kemaman