Terrorisme atas nama agama?
Dr Mohd Mizan Aslam
Januari 8, 2019 12:34 MYT
Januari 8, 2019 12:34 MYT
MULAI tahun 2001, buat pertama kalinya direkodkan bahawa kegiatan terroris agama atau keganasan berpaksikan agama mengatasi keganasan oleh kumpulan pemisah dan gerakan politik. Data yang dikeluarkan oleh Global Terrorism Index (GTI) dengan jelas menyatakan bahawasanya lebih daripada 80 peratus kegiatan terrorisme di dunia hari ini dilakukan atas nama agama.
Hasil penelitian yang dilakukan mulai tahun 2000, peningkatan sederhana antara 200 hingga 250 kegiatan terrorisme dilakukan oleh ketiga-tiga kumpulan terrorisme ini. Akan tetapi, peningkatan yang sangat signifikan terhadap terrorisme agama berlaku mulai tahun 2013 hingga kini. Malah pada tahun 2013, 66% kegiatan terorisme dilakukan oleh hanya 4 buah kumpulan agama iaitu ISIS, Boko Haram, Taliban dan Al-Qaeda.
Mengapa terrorisme agama menjadi sangat popular dan mengatasi yang lain-lain? Adakah disebabkan oleh pengaruh media yang mensensasikannya atau kesedaran terhadap pegangan agama semakin kukuh ataupun disebabkan oleh agenda-agenda tertentu yang dibawa atas nama kumpulan, individu atau agama?
Inilah antara persoalan yang memerlukan kepada pemikiran yang terbuka dan perbincangan yang tuntas.
Perkara pokok yang seharusnya menjadi dasar dalam penulisan dan perbincangan berkaitan adalah setiap agama tidak pernah sama sekali menganjurkan keganasan, malah dengan cukup keras menolak setiap unsur ganas yang dibawa oleh sesiapa sahaja atas nama agama mereka.
Terrorisme agama hari ini lebih sinonim dengan Islam, malah lahirnya kumpulan seperti ISIS, Al-Qaeda, Taliban, Boko Haram, Abu Sayyaf, Jemaah Islamiyyah, Jamaat Tablighi, Kavkaz dan banyak lagi adalah merupakan gerakan dengan agenda tersendiri atas nama Islam. Walau bagaimanapun, dunia sama sekali tidak boleh menafikan bahawa dalam setiap agama di dunia ini juga mempunyai aliran dan gerakan yang ekstrem dan akhirnya membawa kepada keganasan.
Golongan ektremis atau pelampau agama mensasarkan toleransi beragama, multi-kultural dan hak-hak kesamarataan sebagai subjek utama dalam gerakan mereka. Golongan ini menganggap apa sahaja undang-undang terkemudian dan hak-hak kesamarataan sebagai unsur sekular dan di luar batasan agama mereka.
Keganasan dalam agama Kristian berlaku apabila wujudnya banyak kumpulan serpihan yang memperjuangkan ajaran Jesus Christ dalam versi mereka sendiri. Penolakan terhadap tafsiran Injil baru yang membenarkan penguguran bayi, hubungan seks sejenis dan ‘white supremacist’ serta Islamophobia di Eropah banyak menyumbang kepada terrorisme dalam ajaran Kristian. Sejak ratusan tahun lalu, siri-siri serangan ganas dan kematian dalam jumlah yang besar telah dilakukan oleh kelompok yang terkeluar dari ajaran Kristian dan mempunyai pengikut yang ekstrem.
Keganasan dalam agama Kristian dikatakan bermula dengan insiden ‘Gunpowder Plot’ iaitu serangan ganas ke atas Parlimen Britain oleh golongan reformis yang tidak berpuashati dengan ajaran gereja Protestan pada 1605. Seterusnya terrorisme oleh kumpulan anti Protestan Ku Klux Klan, Peter James Knight di Hospital Melbourne, Anti-Balaka di Afrika, Eastern Lightning di China, Manmasi National Christian Army di India, Insiden Poso di Indonesia, Monte Kim Miller di Israel, God’s Army di Myanmar, Anders Breivik di Sweeden, Illaga Catholic di Filipina, Catalan Militia di Sepanyol, Russian Orthodox Army di Ukraine, Insiden Robert Rudolf dan kumpulan Hutaree di Amerika Syarikat dan banyak lagi.
Keganasan dalam agama Hindu juga telah berlaku sejak sekian lama. Dua faktor utama yang menyumbang kepada insiden terrorisme dalam agama Hindu adalah berkaitan agenda agama dan politik. Hubungan agama dan politik yang tegang diantara Hindu dan Islam serta konflik berpanjangan yang diwujudkan oleh British dengan kewujudan negara Pakistan dan Bangladesh telah menyumbang kepada permasalahan ini. Serangan bukan sahaja mensasarkan Muslim, malah Kristian dan aset kerajaan seringkali menjadi objek serangan ganas. Gelaran bagi kegiatan terrorisme Hindu yang disensasikan adalah ‘Saffron Terror’ yang dianggap sebagai pejuangan suci dalam perjuangan Hinduism. Antara lainnya, terrorisme Hindu juga dikaitkan dengan insiden pembunuhan Graham Staines, pemberontakan Gujarat, pengeboman keretapi Samjhauta Express, serangan Ajmer Dargah, pengeboman Masjid Mecca di Hyderabad dan banyak lagi. Laporan oleh Centre for Religious Freedom, Ohio Amerika Syarikat juga mencatatkan ratusan aktiviti terrorism Hindu berlaku di India, Sri Lanka dan negara-negara sekitarnya.
Terrorisme yang dikaitkan dengan Buddha pula bermotifkan agama, politik dan milti-kultur yang dilakukan oleh kelompok-kelompok tertentu dengan menggunakan platform agama Buddha. Ajaran Buddha juga amat menentang keras perlakuan ganas ke atas semua makhluk termasuklah juga keganasan terhadap haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan. Pergerakan 969 adalah antara gerakan dominan Buddha yang dikaitkan dengan aktiviti keganasan di kebanyakan negara. Antara terrorisme Buddha adalah gesaan oleh Phra Kittiwuttho untuk membunuh komunis di Thailand & insiden Selatan Thailand, Democratic Karen Buddhists Army dan gesaan pembunuhan Muslim oleh Sami Shin Wirathu di Myanmar, Sinhalese Buddhist dan Bodu Bala Sena di Sri Lanka, Aum Shrin Kyo di Jepun dan lain-lain lagi.
Yahudi terrorisme pula dikaitkan dengan keganasan yang dilakukan oleh golongan ektremis Yahudi atas nama agama, bukannya atas nama politik dan kenegaraan. Centre for Defence Information, berpengkalan di Washington DC menyifatkan bahawa kegiatan terrorisme di dunia ini berpunca daripada ajaran Yahudi melalui gerakan Zealot pada kurun pertama masihi. Gerakan ini ditandai dengan gerakan ganas bersenjata oleh Judais ke atas Empayar Roman. Selepas negara Israel ditubuhkan pada 1948, gerakan terroris Yahudi menjadi semakin berani dan dilindungi oleh kerajaan Israel. Pelbagai siri serangan terroris terutamanya ke atas penduduk Palestin dan negara-negara jiran yang mengancam Israel jelas dicatatkan oleh sejarah. Brit Ha Kanaim, The Kingdom of Israel Group, Gush Emunim Underground, Keshet, Yehava, Sikrikim dan banyak lagi kumpulan terroris Yahudi wujud dan sering melakukan propaganda dan kegiatan terrorisme di seluruh dunia. Pembunuhan Yigal Amir dan Abu Khdeir, pengeboman Hotel King David, pengeboman Baghdad, Lavon Affairs serta lain-lain lagi.
Kesemua perbuatan terrorisme agama ini berlaku kerana hilangnya sikap toleransi dan bersetuju di atas perbezaan dalam beragama dan berpolitik. Natijahnya diterjemah ke dalam bentuk aksi ganas yang mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan.
Malah di Malaysia juga keadaan yang sama boleh berlaku jika tidak diambil satu langkah pencegahan yang komprehensif. Insiden 13 Mei 1969, insiden Kampung Medan 2001 dan yang terkini insiden Kuil Seafield November 2018 adalah jelas bahawa terrorisme boleh merentasi agama dan kaum. Malah keadaan ini diburukkan lagi dengan sikap pemimpin parti politik dan agama yang bertindak tidak waras dan mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan dan menimbulkan keresahan dalam masyarakat berbilang kaum seperti negara kita ini.
Insiden yang berlaku di luar negara tidak boleh dibenarkan wujud di negara ini. Keamanan dan toleransi serta pemahaman konsep kontrak sosial yang dibina sejak negara ini mencapai kemerdekaan kira-kira enam dekad yang lalu perlu dipertahankan. Unsur-unsur ekstrem dalam beragama dari luar yang cuba dibawa oleh mana-mana agama mestilah ditolak kerana ianya tidak sesuai dengan konsep kepelbagaian budaya dan agama yang dimiliki di negara ini. Keamanan global hanya dapat diwujudkan apabila setiap anggota masyarakat menolak segala bentuk provokasi ganas dan menyentuh sensisitiviti sesuatu kaum. Kerosakan yang lebih besar dan berakhir dengan peperangan boleh berlaku apabila keadaan ini tidak dibendung dari peringkat awal lagi.
Maka, saya yakin bahawasanya gagasan PGPF adalah merupakan platform terbaik bagi mempromosikan keamanan sama ada di negara ini mahupun di peringkat global. Idea menjadikan PGPF sebagai platform perbincangan dan pemerkasaan ke arah keamanan dan menjenayahkan peperangan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak akan mampu dicapai jika negara kita sendiri dilanda konflik dan insiden perkauman. Keamanan global harus bermula dari dalam diri, keluarga dan negara kita sendiri.
* Prof Madya Dr Mohd Mizan Aslam merupakan Pengerusi Kelab Perdana Global Peace Foundation (PGPF)
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#agama
#Al-Qaeda
#Buddha
#ISIS
#Islam
#keganasan
#Kolumnis AWANI
#Kristian
#Mahathir Mohamad
#Mohd Mizan Aslam
#Taliban
#terrorisme