Terputus komunikasi dengan pemilik punca pesawat tersadai di KLIA - Aziz Kaprawi
Bernama
Disember 14, 2015 20:34 MYT
Disember 14, 2015 20:34 MYT
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) terpaksa membuat pengiklanan secara terbuka di akhbar mengenai tiga pesawat Boeing yang tersadai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akibat terputus komunikasi dengan pemiliknya.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata ia antara usaha MAHB mengesan pemilik pesawat selain mengosongkan tempat meletak pesawat yang semakin diperlukan.
"Tiga pesawat itu tersadai sejak 2010. Pada awalnya pesawat itu dimiliki Air Atlanta Icelandic tetapi syarikat ini telah menjual pesawat itu kepada syarikat lain.
"Sejak September 2013, MAHB lost communications (terputus hubungan) sebab syarikat baharu itu tidak beroperasi.
"Jadi apabila terdapat loss of communication, MAHB menghadapi masalah sehingga terpaksa menggunakan kaedah pengiklanan. Sekiranya pesawat itu tidak dituntut dalam tempoh dua minggu, MAHB berhak untuk lelong," katanya.
Beliau menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 bagi kementeriannya di persidangan Dewan Negara hari ini.
Perkara itu menarik perhatian ramai apabila MAHB membuat pengiklanan terbuka dalam akhbar tempatan pada 7 Dis.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata pihaknya kini dalam proses menilai dan melantik perunding dan kontraktor bagi projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Baharu, Kelantan.
Beliau berkata proses berkenaan dijangka dapat dilaksanakan pada separuh kedua 2016.
"Jumlah kos keseluruhan yang diluluskan untuk projek ini adalah RM450 juta dan jumlah yang diluluskan bagi 2016 adalah RM30 juta," katanya.
Permohonan peruntukan bagi projek itu telah diteliti dan diputuskan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), jelasnya.