Terpisah lebih enam bulan, tangisan kegembiraan iringi pertemuan semula di pintu sempadan

Abd Hadi Che Awang
April 1, 2022 14:14 MYT
Akibat beberapa kekangan terutama melibatkan urusan rentas sempadan negara, Noorasyikin dan ibu terpaksa berpisah selama lebih enam bulan. - Foto Astro AWANI
BUKIT KAYU HITAM: Tangisan dan pelukan kegembiraan mengiringi pertemuan seorang anak dan ibunya di pintu sempadan Malaysia-Thailand, Bukit Kayu Hitam selepas pembukaan semula sempadan negara bermula hari ini.
Menurut Noorasyikin Bunnawi, 31 tahun, ibunya sebelum ini terpaksa pulang ke kampungnya di Trang Oktober tahun lalu, berikutan berlaku urusan kecemasan selain perlu menziarahi ahli keluarga yang meninggal dunia.
Namun akibat beberapa kekangan terutama melibatkan urusan rentas sempadan negara, mereka terpaksa berpisah selama lebih enam bulan.
Dia turut memaklumkan bahawa, keluarganya di Malaysia turut risau akan keadaan kesihatan ibunya yang menghidap sakit jantung selain telah terlepas tiga kali temu janji di Institut Jantung Negara (IJN) akibat penutupan sempadan negara.
"Saya sebagai staff nurse saya tahu cara penjagaan mak saya macam mana, pemakanan dia, (pemberian) ubat (dan) harga ubat di sana (Thailand) kos(mahal) juga sebab ubat yang makan untuk jantung bukan murah, maka apabila tiga kali tangguh (pemeriksaanjantung), pihak IJN pun bertanya kenapa, maka saya cakap mak tidak dapat balik sini, mereka faham maka mereka bagi masa (untuk) masa lain, minta sangat tolong buat bagi mak datang juga.
"Bila dengar 1 April, pintu antarabangsa boleh buka kita (satu keluarga) gembira tidak sangka, kena pula tarikh saya cuti kerja malam, maka bila balik dari (Shah Alam) memang terus balik sini, (untuk) tunggu (kepulangan mak)," katanya teruja.
SEMUA MENGENAI PEMBUKAAN SEMPADAN NEGARA DI SINI
Buka Sempadan | Ibu, anak bertemu selepas enam bulan terpisah
Tambah Noorasyikin, dia turut berharap agar segala urusan melibatkan seluruh rakyat Malaysia dan Thailand yang terpisah di dua negara akibat sekatan sebelum ini dapat dipermudahkan.
"Harapan saya pihak kerajaan (dapat) permudahkan cara urusan (sama ada) pihak sana (Thailand) atau di negara ini, kalau ada keluarga yang 'stranded' dekat sana hendak pulang (ke negara masing-masing), kalau nak cakap, kalau tak kena kat kita, kita tak tahu, maka macam saya bila dah jadi macam ini, dapat rasa bila orang 'stranded' kat sana (dan) tidak dapat jumpa keluarga maka harap dimudahkan segalanya (selepas ini)," katanya lagi.
Sementara itu, bagi Siti Zubaidah Abdullah, 62, dia memaklumkan terlalu rindukan tiga anak dan lima cucu yang mana semuanya menetap di negara ini.
Menurutnya, dia telah membuat persiapan sejak sekian lama untuk pulang ke Malaysia termasuk tidak tidur sejak semalam bagi memastikan segala keperluan terutama urusan surat menyurat disiapkan sepenuhnya dan memenuhi syarat ditetapkan kerajaan kedua-dua negara.
"(Saya) kira (sejak) malam tadi, tak tidur, untuk periksa surat, tengok takut (terlepas pandang), (sebab) kena buat surat doktor, periksa (PCR) COVID-19, termasuk periksa MySejahtera dalam telefon.
"(Selepas ini) memang tidak mahu berpisah dengan anak, sebab mak ayah (saya) sudah tiada, ini kali (balik Thailand) sebab mak meninggal dunia, tinggal adik beradik (sahaja) dan mereka pun boleh datang jalan (jika nak melawat saya di sini selepas ini)," katanya.
#buka sempadan #Thailand #Bukit Kayu Hitam
;