Terperangkap di sebalik jeriji, wanita rentung dalam kebakaran
Astro Awani
September 10, 2020 10:46 MYT
September 10, 2020 10:46 MYT
Seorang wanita meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Jalan Pokok Saga, Taman Lintang, Ayer Itam, awal pagi ini.
Mayat mangsa, Choi Hooi Hong, 50-an, ditemui anggota bomba di tingkat bawah rumah teres dua tingkat sejurus api berjaya dipadamkan.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.10 pagi.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, BBP Jalan Perak dan BBP Bayan Baru yang bergegas ke tempat kejadian mendapati kebakaran melibatkan dua unit rumah teres dua tingkat.
"Sebaik tiba, api sedang marak dan rumah itu sudah 85 peratus musnah.
"Api berjaya dikawal pada pukul 3.05 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.42 pagi.
"Mangsa dipercayai tidak dapat menyelamatkan diri daripada pintu jeriji dan terperangkap di dalam rumah berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Rumah pertama mengalami kemusnahan akibat kebakaran kira-kira 85 peratus manakala rumah kedua pula 75 peratus.
Kebakaran turut menyebabkan sebuah kereta jenis Toyota Alpard dan sebuah motosikal hangus.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.