Terpengaruh fahaman salah punca wanita tidak mahu jalani mamogram
Bernama
Jun 5, 2024 05:45 MYT
Jun 5, 2024 05:45 MYT
IPOH: Fahaman dan kepercayaan salah terhadap pseudosains atau sains menjadi antara punca wanita tidak mahu melakukan pemeriksaan mamogram untuk mengesan kanser payudara.
Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Prof Madya Dr M. Murallitharan berkata perbuatan sesetengah pihak yang menyebarkan maklumat salah kononnya apabila menjalani pemeriksaan mamogram individu berkenaan sudah pasti menghidap kanser payudara adalah berita palsu semata-mata.
"Ada sesetengahnya apabila mengetahui dirinya dikesan menghidap barah payudara, individu terbabit bertindak membunuh diri tanpa menjalani apa-apa rawatan kerana mempercayai kononnya semua rawatan kemoterapi dan radioterapi akan membuatkan keadaan dirinya lagi teruk dan tidak dapat hidup lebih lama.
"Oleh itu, kita memberi penerangan terlebih dahulu kepada golongan wanita yang mahu menjalani pemeriksaan mamogram supaya mereka mempunyai kesedaran awal untuk mencegah kanser payudara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Fasa ke-6 Program Mamogram Percuma Etiqa bersama NCSM di sini pada Rabu.
Pelancaran itu disempurnakan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Pengerusi Etiqa International Holdings Datuk R. Karunakaran.
Terdahulu, Murallitharan dalam sembah ucapannya berkata sebanyak 27,500 wanita dari Perak, Johor, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Kelantan, Terengganu, Penang, Kedah, dan Negeri Sembilan telah menjalani pemeriksaan mamogram secara percuma sejak 2017.
"Pada fasa kelima, Etiqa dengan bermurah hatinya telah menyumbang sebuah trak kesihatan yang juga dipanggil sebagai Klinik Saringan Bergerak Nasional Etiqa kepada pihak NCSM.
"Sehingga kini, trak kesihatan yang dikendalikan pihak NCSM ini telah berjaya menyaring lebih 50,000 individu bagi kanser payudara, serviks dan prostat," katanya.
-- BERNAMA