Terpaksa tidur dalam lokap gara-gara tak bawa MyKad
Sinar Harian
Mei 14, 2024 11:45 MYT
Mei 14, 2024 11:45 MYT
SHAH ALAM: Gara-gara tidak membawa kad pengenalan diri (MyKad) ketika keluar ke pusat membeli-belah, seorang lelaki terpaksa 'tidur' dalam lokap selama empat hari ketika berusia 16 tahun.
Perkara tersebut dikongsikan pemilik akaun TikTok @thejokercho yang memberitahu pengalamannya ditahan polis kerana tidak membawa MyKad 20 tahun lalu, sebagai pengajaran kepada orang ramai supaya tidak meninggalkan dokumen penting sewaktu berada di luar.
“Peristiwa ini berlaku ketika saya berusia 16 tahun ketika kehilangan MyKad dan saya buat permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk dapatkan kad pengenalan sementara dalam bentuk sekeping kertas.
“Masa itu jiwa muda, asyik nak lepak di pusat beli-belah dengan kawan-kawan dan saya tak berani nak bawa kertas tersebut dalam poket kerana risau ia akan rosak... jadi saya simpan dalam almari di rumah,” katanya menerusi satu video di TikTok.
Mengulas lanjut pemuda tersebut memaklumkan, sewaktu berada di pusat beli-belah tersebut ada satu operasi penangkapan warga asing sedang dijalankan.
Ujarnya, salah seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahannya bersama rakan-rakan yang lain sebaik sahaja mereka melintasi kawasan tersebut dan meminta MyKad masing-masing
“Saya memang cuak habis sebab tak bawa kertas yang diberikan JPN.
"Saya kena tahan dan digari bersama warga asing tetapi ada lagi dua hingga tiga orang Melayu lain juga ketika itu.
“Saya dibawa menaiki trak ke Balai Polis Klang kemudian dimasukkan ke lokap selama empat hari sebelum dibawa ke mahkamah.
"Dipendekkan cerita, sewaktu perbicaraan saya dijatuhkan hukuman penjara satu hari lagi.
“Saya sudah gelabah ketika itu sebab saya fikir kena masuk penjara Sungai Buloh... kemudian saya tanya orang sebelah maksud hukuman tersebut, rupanya saya kena masuk lokap mahkamah sehingga jam 4 petang iaitu empat jam sahaja sebelum dibebaskan,” jelasnya.
Dalam pada itu, dia menasihatkan orang ramai supaya membawa kad pengenalan diri ke mana sahaja destinasi yang hendak dituju agar tidak dikenakan hukuman mengikut ketetapan undang-undang sedia ada.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang, Mohamad Abdullah berkata, kegagalan mengemukakan MyKad semasa diperiksa juga boleh dikenakan tindakan.
"Mereka yang didapati gagal mengemukakan MyKad dikenakan tindakan di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
"Bagi peruntukan di bawah peraturan ini, mereka yang didapati bersalah boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali." ujarnya. - Sinar Harian