Terpaksa tadah air hujan untuk berniaga
Tan Su Lin
April 24, 2014 07:57 MYT
April 24, 2014 07:57 MYT
Pelan catuan air yang berpanjangan memberi kesan kepada orang ramai khususnya para peniaga makanan yang bergantung kepada bekalan air untuk berniaga.
Namun bagi segelintir peniaga, musim hujan kebelakangan ini di Lembah Klang dilihat sebagai rahmat kerana menyelamatkan perniagaan mereka daripada terjejas akibat catuan air.
Bagi Mazlan Mohd Zabit, 50 tahun umpamanya telah menjalankan perniagaan restorannya selama 10 tahun.
Namun ini pertama kali perniagaannya terjejas akibat catuan air sehingga hampir sebulan memaksanya menadah air hujan untuk kegunaan restorannya, MZ Sri Tanjung di Sungai Jelok, Kajang.
"Kita tak ada jalan lain dah.. apa kita nak buat? Kita nak berniaga kita nak bayar itu ini nak bayar sewa tanah sehari RM100 mana kita nak cari kalau tak berniaga? Pekerja dah berapa dah sehari sekurang-kurangnya RM500-600 kena letak tepi untuk bayar sewa untuk api air semua." kata Mazlan.
Mazlan juga terpaksa menggantikan pinggan biasa dengan pinggan polisterene untuk menjimatkan air bersih.
Namun di sebalik itu, beliau tetap bersyukur kerana perniagaannya masih dapat diteruskan.
"Kira hujan turun hujan rahmat saya syukur lah hujan turun kalau hujan tak turun saya tak boleh nak berniaga. Mula-mula catu hari itu hujan pun turun petang. Itulah hujan rahmat." kata Mazlan.
Di restorannya sahaja, Mazlan menadah 5 tangki besar air hujan untuk kegunaan mencuci, membersih dan juga tandas. Manakala 5 tangki besar lain untuk menyimpan air bersih daripada SYABAS.
Menurutnya langkah itu banyak menjimatkan penggunaan air bersih yang digunakan untuk tujuan lain seperti memasak dan membuat air minuman.
Sekiranya hujan lebat, hanya 10 minit sahaja diperlukan untuk menadah penuh air hujan dalam tangki sebesar 250 gelen.
Air hujan ditadah di bawah bumbung kedainya dan dialirkan menerusi paip yang disalur terus ke dalam tangki berkenaan.
Setiap hari kesemua tangki air akan diisi penuh terlebih dahulu sebelum tutup kedai untuk bersedia bagi memulakan perniagaan keesokan harinya.
Biarpun terpaksa berbelanja untuk membeli tangki simpanan air dan pingan polisterine, menurut Mazlan kedainya tidak mengalami kerugian.
"Tak rugi sebab saya ada air dari 'atas'. Air hujan ada. Saya tak rugi , saya boleh berniaga kalau saya tutup kedai untuk 4-5 hari saya rugi." kata Mazlan.
Bagaimanapun, Mazlan akan merawat air hujan terlebih dahulu dengan membubuh tawas dan klorin untuk "melembutkan" air dan nyah-kuman sebelum menggunakan air hujan yang ditadah itu.
Berasal dari Tokai, Kedah, katanya konsep menadah air hujan untuk kegunaan seharian bukan perkara asing di kampungnya.
Malah pada pendapatnya air hujan adalah selamat dan bersih.
"Kampung dulu mandi makan minum air hujan juga.... Air paip dulu mana ada? Guna air hujan saja lah taruk dalam periuk dalam baldi. Kalau tidak ada air hujan guna air telaga," ujar Mazlan.
Bagaimanapun harapan beliau supaya bekalan air kembali seperti normal agar perniagaan serta kehidupan semua penduduk di lembah kelang dapat berjalan seperti biasa.