Terpaksa gadai emas mulakan perniagaan, kini raih RM20,000 sebulan
Hasimi Muhamad
November 17, 2021 11:36 MYT
November 17, 2021 11:36 MYT
KUCHING: Terpaksa gadai barang kemas, namun itu tidak mematahkan semangat usahawan wanita di Kampung Senari Jalan Bako, Kuching untuk memulakan perniagaan.
Nurul Arfiqah Ali, 30, tekad untuk mengubah kehidupan diri dan keluarga dengan mengusahakan perniagaan berasaskan emping jagung atau 'cornflakes'.
Liku perniagaan tidak mudah, tetapi titik peluh dia kini mula membuahkan hasil selepas mampu menjana pendapatan sehingga RM20,000 sebulan.
"(Modal) masa itu saya gadai emas, dapatlah dalam RM1,500. Terus saya buat modal untuk beli semua bahan dan peralatan.
"Kami bermula pada 2016, masa itu saya tolong ibu mentua, dan selepas itu terbiasa buat 'conflake' dan kawan-kawan juga suka makan, mereka kata 'kenapa saya tidak jual'.
"Dari situ tercetus idea nak jual, dan kami buat santai (kecil-kecilan) sahaja, tidaklah seperti sekarang.
"Kita buat untuk suka-suka, nak hidang kepada kawan. Tetapi sekarang sudah jadi satu permintaan," katanya kepada Astro AWANI, di sini.
Bercerita lebih lanjut, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata suami, Shamimi Mohd, 33, menjadi tulang belakang untuk dia melebarkan sayap perniagaan.
Ujarnya lagi, selain sokongan, kekangan kewangan dan ekonomi ketika itu menjadi pendorong untuk dia mencari pendapatan tambahan.
Kata anak bongsu daripada lima beradik itu, setiap hari dia mengambil tempahan sekitar 250 balang, namun pada musim perayaan ia boleh mencecah 1,000 balang sehari.
Susulan sambutan yang menggalakkan itu, Nurul Arfiqah membuka peluang penduduk setempat khususnya suri rumah untuk menjana pendapatan sampingan.
"Setakat ini saya nampak memang sudah ada perkembangan, dari segi saya membantu ejen (perniagaan) dan memang saya ambil daripada kalangan suri rumah tangga yang tidak bekerja.
"Selepas itu saya akan ajar mereka dari A sampai Z, cara-cara untuk berniaga dan bagaimana untuk memasarkan produk tersebut.
"Setakat ini Alhamdulillah dapat membantu mereka," katanya lagi.
Mengenai kelebihan produk yang dihasilkan, Nurul Arfiqah berkata resepi sambal yang dipelajari daripada ibu mentuanya sebagai bahan utama untuk diadun bersama emping jagung, menjadi tarikan utama pelanggan.
Untuk memastikan kepekatan dan keranggupan cornflakes sambal tersebut dimasak sekurang-kurang sejam.
Katanya lagi, pemasaran secara digital termasuk menggunakan media sosial seperti Facebook telah membantu melonjakkan lagi permintaan daripada pelanggan dari seluruh negara.
Dalam masa yang sama, Nurul Arfiqah berkata bantuan yang disalurkan Kerajaan Negeri sedikit sebanyak meringankan beban perniagaan, sekali gus membantu dia memasarkan produk.
Antara produk yang dihasilkan ialah conflakes ikan bilis, conflakes gajus; conflakes kacang; serta conflakes sambal gajus.