Terpaksa 'berdamai' dengan asap jelaga: 'Tiada elektrik, saya belajar guna lampu pelita'

Assim Hassan
September 9, 2020 20:30 MYT
Akui Delvina, keadaan itu kadangkala menyukarkannya memandangkan terpaksa menghidu asap dari minyak diesel itu. - Foto Astro AWANI
"Saya guna lampu pelita kerana tiada genset (generator)... jadi saya belajar guna pelita."
Itu luahan Delvina Ansarui, 9 tahun, ketika ditemui Astro AWANI di rumahnya di Kampung Rundum, Tenom baru-baru ini.
Setiap malam, meskipun gelap, isi rumah itu sebenarnya tidak mengakhiri aktiviti mereka dengan awal. Dalam gelita yang menyelubungi, ada jiwa-jiwa kecil yang sedaya upaya mahu menyalakan obor pendidikan.
Delvina yang merupakan anak kelima daripada enam beradik itu akan meluangkan masa kira-kira satu jam atau satu jam setengah untuk mengulang kaji pelajaran dan membuat kerja rumah hanya bersuluhkan cahaya pelita.
Sekurang-kurangnya, selain tuntutan menyelesaikan tugasan pemberian guru, dia perlu menjadi contoh yang baik buat adiknya yang masih di peringkat pra-sekolah, yang juga belajar untuk lali dalam kesuraman cahaya itu.
Pasrah dengan keadaan, Delvina bagaimanapun mengakui, kelaziman itu kadangkala menyukarkannya memandangkan terpaksa menghidu asap dan jelaga dari bakaran minyak diesel itu.
Begitupun, dia dan keluarganya sekian lama terpaksa menerima dan 'berdamai' dengan kekurangan itu, kerana itulah hakikat kehidupan mereka.
"Saya mahu ada lampu (bekalan elektrik), kalau ada lampu senang dan terang (ketika saya mengulang kaji). Kalau begini (lampu pelita), tidak terang," kata kanak-kanak yang mahu menjadi seorang doktor ini.
Sesekali, keinginan untuk berhibur sambil menonton itu hadir dalam diri kanak-kanak sepertinya. Memandangkan televisyen juga suatu yang jatuh dalam kategori mewah buat mereka sekeluarga, Delvina bersama adiknya akan menumpang di rumah jiran untuk menonton rancangan kartun atau lain-lain.
Bagi bapa Delvina, Ansarui Bunan, 50 tahun, ketiadaan kemudahan asas seperti bekalan elektrik itu memang sudah sekian lama.
[TONTON VIDEO DI AKHIR ARTIKEL INI]
Melihat kepada anak-anaknya yang mengulang kaji pelajaran menggunakan lampu pelita, Ansarui akui hanya itu yang dapat diberikan memandangkan dia yang bekerja sebagai tukang kebun tidak mampu membeli set jana kuasa atau kelengkapan kuasa solar.
"Oleh kerana (hidup) kami di sini tidak mencukupi setiap bulan, saya tidak mampu membeli genset atau solar. Jika ada dua benda itu akan memudahkan anak-anak belajar.
"Kalau saya beli itu (genset) mungkin perbelanjaan bulanan kami akan tinggi sebab terpaksa beli minyak petrol. Itu menjadi satu kekangan bagi kami sekeluarga," luahnya dalam nada jujur.
Bertanyakan dalam lingkungan yang lebih besar, tinggi harapan si bapa ini supaya suatu hari nanti infrastruktur di kampung mereka ditambah baik, bukan sahaja dari segi bekalan elektrik malah jajaran jalan berlampu memasuki kampung tersebut.
Sekurang-kurangnya, semakin dekatlah sumber cahaya dari jalan itu ke perkarangan rumah papan mereka... yang buat masa ini hanya bertahan dengan 'jasa' sang api pelita.
#bekalan elektrik #cerita rakyat sabah #daif #Infrastruktur #Kampung Rundum #Pilihan Raya Negeri Sabah #Sabah Memilih #Tenom #ulang kaji pelajaran
;