Terowong SMART dibuka semula hari ini
Bernama
Disember 21, 2021 13:35 MYT
Disember 21, 2021 13:35 MYT
KUALA LUMPUR: Terowong Lebuhraya SMART dibuka semula kepada laluan trafik bermula 11.10 pagi hari ini selepas keseluruhan kerja-kerja pembersihan telah pun selesai.
Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn. Bhd (SMART) dalam kenyataan memaklumkan proses pemeriksaan dan rektifikasi mekanikal dan elektrikal juga telah dijalankan bagi memastikan semua peralatan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum Terowong Lebuhraya SMART dibuka semula untuk para pengguna.
"Pasukan serta Pengurusan Terowong SMART akan terus memantau keperluan Operasi SMART dan memastikan tahap kesiapsiagaan pasukan mereka berada dalam keadaan terbaik untuk sebarang kemungkinan keperluan operasinya pada setiap masa," katanya.
[LAPOR LANGSUNG] Sembilan terkorban akibat banjir di Shah Alam
Sabtu lepas, terowong itu ditutup sepenuhnya kepada pengguna bagi pengaktifan sistem banjir susulan hujan lebat sejak Jumaat.
-- BERNAMA