Terowong diganti jambatan jika dapat kelulusan Kerajaan Persekutuan - Guan Eng
Bernama
Mei 21, 2016 08:52 MYT
Mei 21, 2016 08:52 MYT
Kerajaan DAP Pulau Pinang bersedia menggantikan pembinaan terowong dasar laut dengan jambatan sekiranya kerajaan persekutuan memberi kelulusan untuk pembinaan jambatan ketiga di negeri ini.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri bersedia menimbang untuk tidak mengenakan tol bagi jambatan ketiga yang menghubungkan persiaran Gurney di bahagian pulau dan Bagan Ajam di seberang, jika kerajaan persekutuan boleh memberikan kelulusan untuk membina jambatan ketiga itu.
"Kos projek pembinaan terowong dasar laut adalah tiga kali ganda lebih mahal daripada jambatan ketiga.
"Sekiranya mendapat kelulusan daripada kerajaan pusat, kerajaan negeri akan membina jambatan ketiga dan bersedia menimbang untuk tidak mengenakan sebarang tol kepada pengguna," katanya ketika menggulung ucapan terima kasih ucapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini pada Jumaat
Lim bagaimanapun tidak menjawab soalan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid yang meminta penjelasan sama ada kerajaan negeri pimpinan DAP itu telah membuat permohonan daripada kerajaan persekutuan untuk membina jambatan ketiga itu.
Mengenai bangunan DUN yang baharu, Lim berkata pembinaan bangunan baharu itu masih di peringkat kajian bagi mengenal pasti lokasi strategik dan sesuai serta kemudahan yang diperlukan pada masa kini dan masa depan.
"Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan tapak yang paling sesuai sama ada di pulau atau Seberang Perai dengan mengambil kira pelbagai aspek seperti keselesaan perjalanan dan sebagainya.
"Keperluan itu sedang diteliti bagi memastikan dewan undangan negeri yang baharu kelak lengkap dan dapat memenuhi keperluan semua pihak," katanya.