Teroka REE: Saifuddin dedah ada elemen pemerdagangan manusia dan buruh paksa
Fareez Azman
September 14, 2023 21:15 MYT
September 14, 2023 21:15 MYT
PUTRAJAYA: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan, wujud elemen pemerdagangan manusia dan buruh paksa dalam kes penerokaan nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik, Kedah awal tahun ini.
Jelas Menteri Dalam Negeri, siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, pekerja yang juga warga asing telah dijadikan buruh paksa tanpa bayaran untuk mengeluarkan REE dari lokasi.
"Berkenaan berlakunya kecurian nadir bumi yang melibatkan penangkapan 52 warga asing. Dalam warga asing itu, ada rakyat negara jiran, bila disiasat polis, ternyata mereka bekerja tanpa upah.
"Itu antara amalan buruh paksa, disuruh korek lubang, gali, keluarkan bijih itu kemudian tidak dibayar upah. Bila polis tangkap, itu ada elemen perdagangan, ada elemen perdagangan manusia dan buruh paksa," katanya kepada media selepas melancarkan Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia 2023 di Putrajaya pada Khamis.
Tegas Saifuddin, mangsa warga asing terbabit rata-rata berasal daripada negara Myanmar dan Nepal.
Susulan pendedahan itu jelasnya, suspek yang juga warga tempatan telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
"Sebab itu kita letakkan semua kesalahan itu di bawah SOSMA. Ada daripada Myanmar, Nepal dan beberapa negara lagi.
"Sekarang dalam siasatan dan pelaku yang ditangkap ditahan di bawah SOSMA. Tangkapan dibuat tahun ini, 52 orang," katanya.
Ujarnya, tindakan yang diambil bukan untuk meningkatkan penarafan Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) Jabatan Negara Amerika Syarikat semata-mata.
Sebaliknya, ia untuk menangani kes buruh paksa melibatkan warga asing dari negara jiran oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Daripada 52 orang itu ada sekelompok pekerja yang dibawa masuk melalui pelbagai pintu sempadan negara secara tidak sah tanpa dokumen.
"Mereka bekerja tebuk lubang, memasukkan paip, masukkan Amonia kemudian bijih itu timbul dan salurkan ke kolam. Kemudian diambil bijih yang berwarna putih kelabu itu. Dijanjikan RM80 sehingga RM100 sehari namun tidak dibayar.
"Bila pihak berkuasa bertindak, kita bukan semata-mata hendak kejar penarafan tetapi kuat kuasakan usaha membanteras amalan buruh paksa," jelasnya.