Teroka REE: 'Kalau lambat macam kura-kura, semua akan rugi' - Sanusi
Abd Hadi Che Awang
Januari 10, 2023 17:13 MYT
Januari 10, 2023 17:13 MYT
ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah terpaksa memulakan proses penerokaan unsur nadir bumi (REE) berlandaskan bidang-bidang kuasa negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa, ia terpaksa dilakukan kerana Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim lewat mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan penerokaan REE berkenaan.
Sebelum ini, menurutnya, perbincangan mengenai perkara berkenaan telah dilakukan membabitkan kerajaan negeri bersama Majlis Tanah Negara, namun SOP mengenainya masih belum dikeluarkan sehingga kini.
Kelewatan berkenaan jelas beliau akan mengakibatkan kerugian besar kepada negeri yang berminat meneroka REE secara sah, malah terdapat kemungkinan berlakunya kecurian bahan berkenaan untuk diseludup ke luar negara.
"Bahan ini dapat permintaan dan nilainya tinggi, kita tak dapat tunggu (SOP) kerana pasaran mahu, disebabkan itu berlaku kecurian dan REE dibawa keluar dengan cara meletakkan nama lain untuk kaburi mata pihak berkuasa.
"Jika mereka (kementerian) terus perlahan dan masih berjalan macam kura-kura, maka tidak dapat dielak mereka akan terus ketinggalan.
"Apabila REE habis dikeluarkan dari perut bumi, baharu mereka keluarkan SOP, jika berlaku begitu, maka semua pihak rugi," katanya sinis.
Sanusi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandun Persefaham (MoU) antara Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah), Jangka Bakat Minerals Sdn Bhd dan Xiamen Tungsten Co Ltd, di Wisma Darul Aman pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, beliau juga telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perhutanan bagi melaksanakan pemantauan dalam memastikan kegiatan penerokaan berkenaan dibuat berlandaskan lunas undang-undang.
Jabatan berkenaan juga menurutnya bersama pihak berkuasa negeri akan membuat penilaian dari semasa ke semasa bagi memastikan industri yang diteroka itu tidak menyebabkan kerugian, sebaliknya mendatangkan hasil kepada negeri pada masa hadapan.