Teroka 'emas hitam' dalam pertanian demi jamin keselamatan makanan negara - Penganalisis

Irfan Faruqi
Mac 4, 2023 13:02 MYT
Ramana berkongsi pengalaman meneroka 'emas hitam' daripada najis ternakan untuk dijadikan baja dan mengurangkan kos operasi. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kaedah pertanian bersepadu perlu diaplikasikan dalam industri agromakanan di Malaysia. Bukan sahaja ia memastikan keterjaminan sumber makanan, bahkan kos pelaksanaannya adalah lebih efisien.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Famox Plantation M Sdn. Bhd., Ramana K. Naidu, berkata strategi tersebut memandangkan banyak sumber makanan domestik di import dari luar negara yang terdedah kepada kenaikan harga mendadak.
"Saya sedar orang Malaysia makan ayam banyak, 40 kilogram seorang purata setahun. Tetapi ayam makan jagung yang tidak ada orang Malaysia mengusahakannya. Kita import dari Brazil, Argentina dan Mexico.
"Apabila disemak, 3.7 juta metrik tan jagung diimport pada 2016 berjumlah RM3 bilion. Tetapi akibat perang Rusia-Ukraine, harga jagung yang dahulunya RM900 satu tan, kini sudah mencecah RM1800 satu tan. Nilai kos import naik daripada RM3 bilion kepada RM6 bilion. Automatik kita nampak wang bergerak keluar dari negara," katanya dalam program Dialog Poket Rakyat terbitan Astro AWANI.
'Teroka 'emas hitam' dalam pertanian demi jamin keselamatan makanan negara'
Ramana turut berkongsi pengalaman beliau meneroka 'emas hitam' dalam dunia pertanian dan kaedah pertanian bersepadu dalam mendepani cabaran sekuriti makanan, agar kebergantungan kepada hasil import boleh dikurangkan.
"Saya datangkan konsep pertanian bersepadu. Kalau orang lain boleh kenapa kita tidak boleh. Contohnya, saya ada ladang ayam, lembu tenusu dan jagung sendiri. Apa yang saya buat, saya jadikan najis lembu sebagai baja. Saya jimat banyak. Ini yang kita sebut sebagai 'emas hitam'," jelasnya.
Oleh yang demikian, Ramana menegaskan penting untuk usahawan tani mempunyai keupayaan bersikap fleksibel untuk menguasai ilmu yang pelbagai, seperti mekanisasi, kewangan, pengurusan perniagaan, dan ilmu bertani. Pengetahuan ini seterusnya diterjemahkan dalam bentuk inovasi dan membangunkan kaedah pertanian baharu sesuai dengan geografi Malaysia.
#Dialog Poket Rakyat #sekuriti makanan #pertanian bersepadu #emas hitam
;