Termometer tidak boleh menjerit, SOP peruncitan dipinda - Uggah

Astro Awani
November 16, 2020 18:43 MYT
Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut memaklumkan mengenai kebenaran beroperasi bagi pusat tuisyen dan tadika di zon hijau mulai 17 November. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak telah membuat pindaan Prosedur Operasi Standard SOP bagi sektor peruncitan untuk Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam sidang media harian di Kuching, hari ini.
Jelas Uggah SOP yang berkuatkuasa mulai 18 November 2020 melibatkan pemantauan rapi proses mengambil suhu badan pengunjung kedai runcit yang agak longgar sebelum ini.
"Termometer tidak boleh menjerit.
"Jadi tiada rekod. Oleh itu, pastikan bahawa termometer itu dipantau. Itulah jenis SOP yang ingin kami perbaiki di kedai runcit," ujar Uggah.
Dalam sidang media berkenaan Uggah turut memaklumkan mengenai keputusan JPBNS berhubung pembukaan semula pusat tuisyen dan tadika di zon hijau.
Jelasnya semua pusat tuisyen dan tadika di zon berkenaan dibenarkan beroperasi mulai 17 November ini. Bagaimanapun pihak pengusaha perlu patuh kepada SOP yang ditetapkan.
Sementara itu Sarawak hari ini mencatatkan hanya satu kes positif COVID-19 melibatkan seorang kanak-kanak lelaki warga tempatan berusia empat tahun.
Kes direkodkan di Miri dan mempunyai kaitan dengan kontak positif di bawah Kluster Greenhill.
Kes telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Miri untuk rawatan lanjut.
#COVID-19 #Kanak-kanak #PKPP #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKPB #kes positif #SOP #Kuching #Miri #perintah kawalan pergerakan #perintah kawalan pergerakan bersyarat #JPBNS #Douglas Uggah Embas #Kluster Greenhill #tuisyen #taska #kedai runcit
;